v 'Cukuplah saya jadi presiden'
Expired : 18.06.18

'Cukuplah saya jadi presiden'

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab bakal mengucapkan selamat tinggal selepas 30 tahun menerajui badan induk itu dan menegaskan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan akan datang.

"Cukuplah tugas saya selaku presiden. Saya yakin ramai lagi yang layak. Ini keputusan muktamad dan saya akan tetap dengan keputusan akan melepaskan jawatan untuk penggal akan datang.

"Saya yakin ada orang baru yang boleh menerajui PKBM. Biarpun saya tidak lagi memegang jawatan dalam PKBM tapi selagi saya sihat, saya akan tetap berada di belakang PKBM kerana ini adalah sukan yang saya minat," katanya yang sudahpun berusia 79 tahun.

Abu Samah tidak berdepan masalah untuk mengekalkan jawatan Presiden PKBM bagi penggal 2019-2023 selepas tiada pencabar.

Beliau yang mengetuai badan induk berbasikal negara sejak 1990 itu menang tanpa bertanding pada penggal terdahulu.

Untuk itu sebelum beliau menamatkan tugas sebagai Presdien PKBM, Abu Samah menjelaskan bahawa beliau akan berusaha sehabis baik untuk memohon kepada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) bagi membenarkan Malaysia menganjurkan kejohanan itu tahun depan.

"Saya akan tetap minta ACC untuk bagi hak sebagai tuan rumah kepada kita. Kalau tak dapat 2021 saya cuba untuk 2022. Sebab bukan kita yang tak mahu menganjurkan tapi sebab masalah Covid-19 ini jadi mereka perlulah bagi peluang kepada kita.

"Biarpun dimaklumkan bahawa Presiden ACC yang baru mungkin lebih berminat untuk menganjurkan kejohanan itu di Timur Tengah," katanya.

Mengikut kalendar penganjuran ACC sepatutnya berlangsung dari 7 hingga 21 Mac lalu namun terpaksa ditunda berikutan penularan pendamik Covid-19.

Bagaimanapun masih belum ada sebarang tarikh penganjuran kejohanan itu berikutan negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masih belum membuka pintu masuk kepada orang luar.