Expired : 18.06.18

'Doa kami dimakbulkan'

“Hanya Allah SWT yang tahu betapa gembiranya saya dan suami apabila mendapat panggilan daripada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) memaklumkan terpilih untuk mendapatkan tajaan rawatan kesuburan persenyawaan tabung uji (IVF).


“Alhamdulillah, doa kami selama ini untuk mencuba rawatan itu akhirnya dimakbulkan,” kata Natrah Ahmad Salleh, 42.


Kakitangan swasta dari Gelugor, Pulau Pinang itu adalah antara 60 pasangan yang menerima tawaran penajaan rawatan IVF daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis Hari Keluarga TAFF 2019, semalam.


Menurutnya, dia dan suami, Sazali Md Salji, memang terkejut ketika menerima panggilan berkenaan memandangkan borang permohonan itu dihantar 12 tahun dahulu.


Beliau berkata, mereka masih belum dikurniakan zuriat meskipun sudah berkahwin lebih 20 tahun dan pelbagai usaha serta rawatan kesuburan dilakukan namun rezeki masih tidak menyebelahi.


Katanya, dia tidak pernah mencuba rawatan IVF kerana kosnya mahal mencecah puluhan ribu ringgit.


“Apapun, saya dan suami tidak pernah berputus asa, kami berdoa semoga dengan bantuan tajaan rawatan IVF itu kelak akan memberi kami zuriat yang ditunggu-tunggu selama ini.


“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Pengasas dan Presiden Seumur Hidup TAFF atas peluang yang diberikan,” katanya.


NATRAH dan Sazali antara penerima tajaan rawatan IVF TAFF pada Hari Keluarga TAFF 2019.



Sementara itu, pasangan Baharudin Mohamed, 44, dan Noor Suzira Sappie, 36, turut bersyukur kerana terpilih menerima bantuan penajaan rawatan IVF itu.


Mereka yang sudah lebih 14 tahun berkahwin mengakui sudah mencuba pelbagai cara termasuk rawatan alternatif semata-mata untuk mendapatkan cahaya mata.


Kata Noor Suzira, dia menghantar borang permohonan pada 2009 dan sejak itu setia menunggu panggilan daripada TAFF.


“Pada awalnya kami memang menaruh harapan tinggi namun pasrah selepas menunggu beberapa tahun kerana tiada jawapan


“Kesabaran kami nyata berbaloi apabila menerima panggilan daripada TAFF pada awal Julai lalu memaklumkan terpilih antara 60 pasangan yang mendapat tawaran tajaan rawatan berkenaan.


“Semoga rawatan berkenaan berjaya dan kami mendapat zuriat yang selama ini dinantikan,” katanya.


Norlida Ishak Shop