Expired : 18.06.18

'Dulu saya susah terima'

KLANG: Bukan mahu menyalahkan takdir, namun usianya terlalu muda apabila disahkan sebagai penghidap virus kurang daya tahan penyakit (HIV) positif sejak lahir.


Itu yang dilalui remaja dikenali sebagai Ahmad (bukan nama sebenar), 15, selepas diberitahu ibunya ketika dia berusia 10 tahun.


Lebih memeritkan dia satu-satunya penerima virus HIV berkenaan dalam kalangan lima adik-beradiknya.


Katanya, pada awalnya dia tidak begitu memahami apa itu HIV namun selepas diberi penjelasan oleh doktor dan ibu bapanya, dirinya seakan-akan memberontak kerana tidak percaya.


“Masa diberitahu menghidap HIV, saya masih kecil tetapi apabila diberi penjelasan berkali-kali oleh ibu dan doktor, saya sangat susah nak terima.


“Doktor suruh makan ubat untuk lawan sakit, saya tidak peduli langsung, asyik terfikir kenapa diri saya yang menerima virus ini.


“Ibu paksa suruh makan ubat. Dia kata kalau nak sihat makan ubat, kalau tak nak hidup lama tak payah makan ubat, tetapi itu pun saya tidak peduli,” katanya.


Masa depannya yang sebelum ini gelap akhirnya mula menampakkan cahaya apabila atas nasihat doktor serta ahli keluarganya, dia ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di sini ketika usianya 13 tahun.


Meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang menetap di Kuala Lumpur, namun ia menjadi titik tolak kepada perubahan yang berlaku di dalam kehidupannya.


“Di rumah itu, suasana sunyi dan cukup berbeza dengan tempat tinggal saya sebelum ini.


“Saya juga dapat menemui beberapa rakan sebaya yang juga menghidap HIV.


“Kami dijaga rapi terutama membabitkan pengambilan ubat kerana saya tidak boleh terlewat walaupun seminit dari masa yang ditetapkan doktor.


“Selain itu, saya juga dapat bersekolah seperti biasa dan melakukan aktiviti seharian seperti rakan lain,” katanya.


Biarpun terpaksa merahsiakan dirinya penghidap HIV daripada pengetahuan rakan sekolahnya, Ahmad tetap menunjukkan perubahan ke arah lebih positif selepas mendapat kedudukan terbaik di dalam kelas pada peperiksaan akhir tahun sebelum ini.


“Saya tahu dan faham bagaimana HIV berjangkit, jadi ia tidak membataskan pergaulan saya dengan rakan sekolah.


“Mungkin ada beberapa rakan yang tinggal di kampung ini tahu saya menghidap HIV tetapi saya tidak pernah diejek di sekolah,” katanya.


Menurutnya, dia tetap bersyukur kerana ibu bapanya serta adik-beradik selalu menziarahi dan bertanya khabar.


“Saya sangat rindu untuk tinggal dengan keluarga tetapi apabila di sana, saya susah makan ubat, kalau terlewat sikit, virus itu mula merebak dan tubuh badan saya akan terancam.


“Ibu kata saya perlu habiskan Sijil Pelajaran Malaysia di sini sebelum dibenarkan balik untuk tinggal bersama keluarga,” katanya.


Norlida Ishak Shop