v 'Gian' nak turun laut
Expired : 18.06.18

'Gian' nak turun laut

ATLET pelayaran negara Juni Karimah Noor Jamali sudah tidak sabar untuk kembali ke laut selepas hampir tiga bulan tidak dapat menjalani latihan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Dia yang kini berusia 18 tahun sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika kerajaan membenarkan atlet di bawah program Road To Tokyo (RTT) berlatih lebih awal.

Katanya, banyak yang perlu dipelajarinya untuk terus mengejar pengalaman bergelar pelayar terbaik negara.

"Saya memang tak sabar untuk kembali berlatih. Tapi kena ikut SOP (prosedur operasi standard) yang diberikan iaitu perlu berkampung di pusat latihan selama 30 hari dan tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana.

"Tapi itu tak mengapa, memang saya dah bersedia dari segi mental dan fizikal kerana memang dah 'gian' untuk kembali ke laut selepas lebih daripada dua bulan tidak menjalani latihan," katanya.

Juni yang berasal dari Kedah berkata, untuk mendapatkan semula skil pelayaran dia memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk menyesuaikan diri semula teknik yang ada.

Juni bersama Nuraisyah Jamil mengesahkan tempat ke temasya Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan menerusi kategori International 470 wanita.

Kedua-dua atlet itu layak secara merit menerusi kelayakan Asia selepas mengenepikan pesaing terdekat dari Thailand dan Singapura pada Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa 470 Asia 2019 di Shenzen, China, Disember tahun lalu.