Expired : 18.06.18

'GST sudah mati' - Guan Eng

DEWAN Rakyat meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, hari ini.


RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU GST (Pemansuhan) 2018 diluluskan tanpa pindaan menerusi undi sebulat suara selepas bacaan kali kedua dibacakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.



“Akhirnya, GST sudah mati,” katanya ketika mengakhiri penggulungan perbahasan RUU terbabit.


Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, mengumumkan RUU GST (Pemansuhan) 2018 diluluskan menerusi undi sebulat suara.


Ia bermakna GST yang dilaksanakan sejak 1 April 2015 dimansuhkan sepenuhnya bagi membolehkan Akta Jualan dan Akta Perkhidmatan (SST) dilaksanakan mulai 1 September ini.


Penghapusan GST adalah sebahagian daripada janji dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).


GST mula dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus.


Terdahulu ketika membentangkan RUU GST (Pemansuhan) 2018, Guan Eng berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.


Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.


“Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan daripada jumlah tunggakan itu, sebanyak RM9.2 bilion atau 47 peratus adalah bagi tahun ini; RM6.8 billion (35 peratus) 2017; RM2.8 billion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.


“Baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion. Ini menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion,” katanya.


Guan Eng berkata, kerajaan akan mengkaji pelbagai cara bagi memperoleh dana mencukupi untuk pembayaran tuntutan.


Katanya, kelewatan pembayaran balik tuntutan itu menjejaskan persekitaran perniagaan dan memberi kesan negatif terhadap daya saing negara.


“Saya terkejut apabila diberitahu tunggakan ini berlaku akibat kegagalan kerajaan terdahulu memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah yang dikhaskan untuk melunaskan tuntutan cukai GST,” katanya.


Norlida Ishak Shop