Expired : 18.06.18

'Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasan saya'

GUA MUSANG: Isteri bekas Tok Batin suku Batek ini kelihatan tenang, namun trauma dihadapi apabila melihat empat insan kesayangan meninggal dunia terlalu sukar untuk diterjemahkannya.


Som Ngai, 50, kehilangan suami, Hamdan Keladi dan tiga anak mereka, Laila, Romi dan Din yang berusia 18 hingga 20-an selepas diserang penyakit yang dikaitkan dengan radang paru-paru.


Mereka meninggal dunia sejak awal bulan lalu dimulai Hamdan diikuiti Laila dan Romi yang maut pada hari sama dan diakhiri Din.


“Seluruh badan melepuh dan kepanasan, mengadu sakit kepala, muntah teruk, tidak mampu makan sehingga badan kurus kering.


“Suami yang juga bekas tok batin mula-mula berkeadaan demikian, malah dua minggu dia begitu sebelum meninggal dunia.


“Saya tidak mampu buat apa-apa pun, malah ubat sapu dan minum juga tidak mampu beri untuk meredakan kesakitan dan mereka hanya terbaring sahaja,” kata Som ketika ditemui di Felda Aring 10 di sini, semalam.


SOM Ngai bersama anaknya.



Menurutnya, mengingati kejadian berkenaan sangat memilukan hati, malah dia sukar tidur lena kerana bimbang penyakit misteri itu menjangkiti dia dan empat lagi anak lain.


“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasan saya apabila melihat empat orang kesayangan meninggal dunia di depan mata tanpa mampu berbuat apa-apa. Masih terbayang lagi kesakitan mereka tanggung.


“Suami meninggal dunia dahulu, beberapa hari kemudian Laila pada jam 8 pagi dan Romi pada jam 4 petang hari sama. Empat hari kemudian pula Din,” katanya.


Akhbar sebelum ini melaporkan Orang Asli Batek di Kuala Koh, di sini diserang penyakit misteri hingga menyebabkan 14 kematian dengan dua orang meninggal dunia disahkan akibat radang paru-paru.


Norlida Ishak Shop