Expired : 18.06.18

'Harap selesai cepat' [METROTV]

PASANGAN selebriti popular Awal Ashaari dan Scha Alyahya membuat tuntutan RM345,305 terhadap syarikat D'Haja (M) Sdn Bhd yang didakwa melanggar perjanjian pengedaran kedua minyak wangi ekslusif mereka iaitu Blue dan Maroon.


Awal, 37, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata dia bersama isterinya ingin mendapatkan hak mereka semula daripada pihak terbabit selaku pengedar tunggal minyak wangi itu sejak dua tahun lalu.



“Perkara ini sudah berlarutan lama. Saya dan isteri sudah cuba minta dan dapatkan hak kami, namun gagal. Jadi, selepas berbincang dengan peguam, masing-masing sepakat untuk bawa perkara ini ke mahkamah.


“Kami failkan kes pada April lalu. Memandangkan proses perbicaraan masih berlangsung, jadi saya tidak boleh cakap banyak. Cuma apa saya harapkan, perkara ini selesai cepat dan baik-baik saja,” katanya kepada Harian Metro.


Menurut Awal, pihaknya juga terbuka sekiranya pihak tertuduh ingin mengadakan rundingan luar mahkamah.


“Buat masa sekarang belum ada lagi, tetapi kami mengambil sikap terbuka. Malah kami juga disarankan peguam untuk melihat kepada perkara ini.


“Kalau boleh nak selesaikan tuntutan ini dahulu. Sebarang tuntutan lain, akan dibincangkan kemudian,” katanya.


Pada waktu yang sama, mereka melalui Peguam Raja Riza & Associates juga sudah menghantar tuntutan kepada pengasas kosmetik, Rita Sosilawati atas kesalahan representasi berhubung perniagaan minyak wangi itu.


“Setakat ini pihak peguam kami sudah mengantar surat tuntutan kepada syarikat beliau, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak mereka,” katanya.


Terdahulu, pada 30 April lalu Scha, 35, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir dan Awal selaku plaintif memfailkan saman terhadap D'Haja (M) Sdn Bhd selaku defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM300,000 atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian berhubung penjualan produk minyak wangi yang dikeluarkan oleh pasangan selebriti itu.


Dalam pernyataan tuntutan, pasangan suami isteri itu mendakwa mereka memasuki perjanjian dengan D'Haja untuk tempoh dua tahun bermula 11 Oktober 2016 hingga 10 Oktober tahun ini dan melantik syarikat berkenaan sebagai pengedar eksklusif bagi produk minyak wangi dikeluarkan mereka.


Kedua-dua plaintif mendakwa selaras dengan perjanjian itu, mereka memesan 20,000 botol minyak wangi daripada Eree International Sdn Bhd dan membuat pembayaran berjumlah RM310,000 kepada Eree International melalui dua pembayaran masing-masing pada 11 Oktober 2016 dan 11 Januari 2017 untuk kos pengeluaran 20,000 botol minyak wangi itu.


Mereka mendakwa pada 12 Februari 2017, defendan menerima 20,000 botol minyak wangi daripada Eree International bagi pihak pasangan suami isteri itu dan melalui pesanan penghantaran itu, defendan mengesahkan menerima 20,000 botol minyak wangi dalam keadaan baik dan teratur serta menetapkan harga jualan sebotol minyak wangi pada harga RM55.


Kedua-dua plaintif mendakwa defendan gagal untuk memastikan 20,000 botol minyak wangi yang diterima daripada pengeluar berada dalam keadaan baik dan teratur serta gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak kepada mereka selain gagal menyediakan rekod transaksi jualan selaras dengan perjanjian berkenaan.


Dakwa plaintif, selepas didesak untuk memulangkan kesemua minyak wangi yang belum dijual, defendan memaklumkan kepada mereka terdapat 3,215 botol minyak wangi kononnya rosak dan dihantar semula kepada Eree International.


Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM345,305, faedah dan ganti rugi am terhadap defendan.


Norlida Ishak Shop