Expired : 18.06.18

'Jangan risau soal ranking'

JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan tidak mahu Lee Zii Jia terlalu gusar mengenai soal ranking lawannya yang akan ditemui pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland bermula 19 Ogos depan.


Sebaliknya pengendali dari Indonesia itu berkata, apa saja boleh berlaku pada pentas sebesar itu dan Zii Jia perlu kekal fokus ketika berdepan setiap lawannya terlebih dahulu.


"Biasanya di dalam kejohanan besar, kedudukan ranking lawan bukan menjadi faktor utama.


"Banyak kejutan boleh berlaku dan saya mahu Zii Jia fokus kepada setiap perlawanan. Bagi saya jika melihat kepada situasi semasa, ada peluang untuk Zii Jia mara sehingga ke suku akhir," katanya.


Pada masa sama, Hendrawan juga tidak mahu Zii Jia mengambil mudah lawan yang menduduki ranking lebih rendah daripadanya terutamanya ketika bertemu pemain Brazil, Ygor Coelho pada pusingan pertama nanti.


"Bagi saya pada setiap kejohanan, situasi paling sukar adalah di awal pusingan kerana pemain belum selesa dan masih tercari-cari rentak pemainan.


"Saya lihat pemain Brazil itu (Coelho) mempunyai karakter melawan, jadi Zii Jia perlu sentiasa berwaspada," katanya.


Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-14 dunia, dijangka akan bertemu wakil China, Lu Guang Zu pada pusingan kedua sekiranya melepasi halangan Coelho di pusingan pertama.


Pemain Jepun, Kenta Nishimoto pula dijangka akan menantinya di pusingan ketiga seandainya berjaya menewaskan Guang Zu.


Norlida Ishak Shop