Expired : 18.06.18

'Melawa' nak jaga reputasi

MENJADI artis terutama pelakon dan penyanyi bukan mudah.


Walaupun ramai mengandaikan bakat sebagai perkara utama yang perlu dititikberatkan, namun tidak dinafikan paras rupa dan imej turut memainkan peranan penting bagi mengekalkan nama dalam arena hiburan.


Apa yang pasti, peminat juga inginkan artis yang sedap dipandang dari segi luaran.


Jadi, tidak hairan ramai artis sanggup menghabiskan ribuan ringgit sebulan demi memastikan penampilan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik.


Bukan saja artis wanita, artis lelaki juga tidak terlepas daripada ‘mengabdikan diri’ kepada penjagaan diri dan kecantikan.


Mungkin sesetengah melihat artis lelaki lebih ‘sempoi’ dan ringkas, tetapi tidak bagi mereka yang betul-betul mementingkan perkara sedemikian atau ‘melawa’.


Ada antara mereka sanggup menghabiskan kira-kira RM1,000 hingga RM8,000 sebulan semata-mata mahu kelihatan ‘cantik’, wangi dan sedap mata memandang!


Pengacara dan pelakon popular, Awal Ashaari, 38, antara artis lelaki yang menitikberatkan hal penjagaan diri dan kecantikan.


Awal yang juga suami kepada pelakon Scha Alyahya tidak ralat untuk membelanjakan RM5,000 hingga RM8,000 sebulan merangkumi penggayaan rambut, rawatan muka, tata rias kuku, kosmetik, spa dan pakaian.


“Saya memang suka melawa sejak sekolah menengah lagi. Apabila bergelar artis, saya tidak mahu nampak biasa dan tidak istimewa di mata umum. Penampilan yang menarik tidak dinafikan membantu menaikkan lagi reputasi artis lelaki. Saya buat semua ini bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya untuk kebersihan dan kekemasan diri,” katanya yang memang terkenal dengan cita rasa fesyen yang tinggi.


Awal berkata, dia tidak kisah mengeluarkan kos tinggi setiap bulan dan minatnya itu turut disokong isteri.


“Isteri juga memainkan peranan penting untuk sentiasa mengingatkan saya seperti menukar fesyen rambut. Jika dulu, dia yang selalu belikan untuk saya, tetapi sekarang saya sendiri lakukannya,” katanya.


Pada masa sama, Awal tidak menafikan lelaki sepertinya turut dipandang sinis segelintir pihak. Malah, ada juga rakan lelaki yang mempersoalkan gaya hidupnya itu.


“Mereka menganggap saya boleh buat begitu sebab saya artis. Namun, bagi saya, untuk melakukan itu anda tak semestinya menjadi artis. Contohnya, tata rias kuku memang penting kerana ia untuk kebersihan diri dan sangat penting dijaga setiap masa.


“Saya tidak terasa apa pun dengan pandangan itu. Malah, saya suka berkongsi kebaikan menjaga kecantikan dengan lelaki lain.


“Sebenarnya ada segelintir yang sudah tidak malu bertanya mengenai hal ini kepada saya dan saya akan kongsikan tips dengan mereka. Ada yang mengaku malu untuk melakukannya terutama membuat tata rias kuku,” katanya.


Sementara itu, penyanyi popular Hael Husaini, 31, turut sependapat dengan Awal, tetapi lebih selesa berbelanja mengikut kemampuannya.


HAEL Husaini. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam



Katanya, dia mementingkan penjagaan diri dan mahu ia sentiasa dijaga rapi berikutan konsep hiburan sekarang semuanya membabitkan visual.


“Ya, memang penting untuk artis lelaki menjaga dan berbelanja untuk penampilan. Apabila bergelar artis dan menjadi public figure, anda memang perlu menjaga penampilan tak kira sama ada anda artis wanita atau lelaki,” katanya.


Hael berkata, dia membelanjakan paling kurang RM1,000 sebulan membabitkan pakaian, penata gaya dan barangan untuk kecantikan diri.


Menurutnya, walaupun turut mementingkan aspek kecantikan, tetapi dia sekadar berbelanja mengikut kemampuan dan tidak berlebih-lebih.


Belanja RM1,000 belai muka


Pelakon Zoey Rahman, 34, benar-benar mementingkan penjagaan wajah dan bentuk badan serta sanggup menghabiskan lebih RM2,000 sebulan untuk proses itu.


Zoey mengakui, dia mula mementingkan penjagaan diri sejak mula melangkah ke industri hiburan pada 2007.


“Sebagai lelaki, kita juga perlu menjaga penampilan kita kerana menjaga penampilan diri dan wajah, akan mencerminkan bagaimana diri kita yang sebenarnya.


“Penampilan boleh memberi tanggapan awal orang lain terhadap kita dan dapat menunjukkan yang kita adalah pembersih,” katanya.


Zoey berkata, dia sangat mementingkan penjagaan wajah dan berbelanja lebih RM1,000 sebulan untuk barangan pencuci muka dan beberapa sesi rawatan muka.


“Ada yang perlu dibuat setiap bulan dan ada juga yang saya lakukan mengikut jadual seperti dinasihatkan doktor. Paling penting bagi saya ialah memakai krim penghalang matahari dan mencuci muka tiga kali sehari,” katanya.


ZOEY Rahman. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria



Zoey turut membelanjakan RM1,000 sebulan bagi membeli makanan tambahan untuk membina tubuh supaya kelihatan tegap.


Sementara itu, pelakon Hafreez Adam, 29, pernah berdepan masalah emosi apabila mengalami masalah kulit muka yang teruk.


Sehubungan itu, apabila bergelar artis, Hafreez perlu memastikan kulit wajahnya terjaga dengan rapi.


Hafreez berkata, dia menjalani beberapa sesi rawatan antaranya suntikan Vitamin C dan rawatan Platelet Rich Plasma (PRP) yang membantu kulitnya menjadi lebih sihat.


Katanya, dia membelanjakan hampir RM2,000 sebulan untuk penjagaan wajah dan makanan tambahan aktif ke gimnasium melakukan aktiviti kecergasan.


Jangan terlebih guna kosmetik


“Kalau boleh jangan berlebihan sangat menggunakan kosmetik jika di luar waktu kerja,” kata pelakon Bella Dally, 27, mengenai artis lelaki yang mementingkan penjagaan diri serta ‘melawa’.


Namun, Bella mengakui menjaga penampilan sangat penting bukan saja untuk wanita, tetapi juga lelaki.


“Menjaga penampilan itu tiada masalah. Bukan saja wanita, tetapi lelaki pun kena sentiasa kelihatan kemas dan rapi apabila bekerja.


“Perkara itu memainkan peranan penting bagaimana orang lain melihat kita. Dalam Islam pun, kita disuruh untuk menjaga kebersihan dan kekemasan,” katanya.


Bagaimanapun, dia menyarankan supaya artis lelaki tidak berlebih-lebih menggunakan kosmetik jika di luar waktu kerja.


BELLA Dally. FOTO Aziah Azmee



“Untuk artis lelaki, ada sebab kenapa mereka perlu memakai bedak iaitu untuk mengelakkan daripada muka nampak berminyak di kaca televisyen atau sesi fotografi. Secara peribadi, ia boleh diterima jika untuk kerja dan selalunya bukan berlebihan pun.


“Namun, jika bukan kerana kerja, lebih baik lelaki tidak payah mengenakan kosmetik. Tak perlu memakai mekap tebal atau mengenakan gincu.


“Saya sendiri sebenarnya susah nak terima lelaki yang berlebihan begitu melainkan mereka mengenakan mekap untuk watak dalam lakonan. Bagi saya, kadang-kadang penampilan begitu boleh mendatangkan fitnah,” katanya.


Ramai artis popular sedar penting jaga wajah


Pakar kecantikan, Dr Ibnu Azro Azriq Azmi yang berpengalaman merawat wajah beberapa artis popular tanah air mengakui ramai lelaki terutama dalam kalangan artis semakin sedar kepentingan penjagaan wajah yang menjadi aset utama mereka.


Dr Azriq berkata, kebanyakan mereka melakukan rawatan Platelet Rich Plasma (PRP), dermapen dan pengelupasan.


“Ada juga yang lebih ekstrim dengan mengambil suntikan botox termasuk melakukan pembedahan plastik,” katanya.


Katanya, penjagaan diri dan kecantikan adalah keutamaan untuk seseorang artis sama ada lelaki atau wanita.


“Wajah adalah aset mereka mencari rezeki. Walaupun bergantung kepada bakat, mereka juga perlu hadir dengan pakej penampilan menarik,” katanya.


Bercerita mengenai rawatan yang dilalui kebanyakan artis lelaki di kliniknya, Dr Azriq berkata, kebanyakannya inginkan rawatan yang tidak terlalu menampakkan perbezaan ketara kepada wajah mereka.


“Ada juga yang mahu melakukan pembedahan plastik. Namun, kebanyakan mereka ada masalah body dysmorphic disorder di mana mereka sentiasa merasakan diri atau bahagian tubuh mereka tidak sempurna.


“Dari situ, jika mereka mula melakukan pembedahan plastik contohnya di bahagian hidung, seterusnya mereka akan datang semula untuk melakukan pembedahan bibir, dagu, dahi dan ada juga yang mahu membedah kantung bawah mata atau eye bag,” katanya.


Norlida Ishak Shop