Expired : 18.06.18

'Niat saya nak tolong ibu dan pak su'

GELAGATNYA menolak bapa saudara berstatus orang kurang upaya (OKU) dengan kerusi roda lebih satu kilometer setiap hari sambil membawa barangan jualan mencuri tumpuan pengguna jalan raya.


Danial Jauhari Harani Yusof, 12, bersama Marzuki Jamaludin, 49, kerap melalui Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas ke Jalan Rumbia berhampiran Kompleks Bukit Jambul, bagi menjual keropok serta makanan ringan.


Danial Jauhari berkata, rutin itu dilakukan sejak Januari lalu bagi menjual keropok yang digoreng ibunya, Jamaliah Jamaludin, 51.


Katanya, ibunya tidak pernah memaksa tetapi ia adalah kemahuannya bagi menambah pendapatan keluarga.


“Saya hanya berniaga antara 5 petang hingga 7 malam dan saya anggap ia adalah sebahagian daripada riadah atau mengisi masa lapang.


“Niat saya hanya mahu tolong ibu dan pak su selain mencari sedikit wang saku ke sekolah,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, keropok dan makanan ringan yang dijualnya berharga antara RM1 hingga RM5 dan mampu meraih antara RM30 hingga RM80 sehari.


Tiada pengalaman pahit dilaluinya selain daripada gangguan beberapa budak nakal di kawasan berkenaan.


“Mereka mengganggu dengan mencampakkan barangan jualan dan biasanya saya akan segera beredar kerana bimbang dengan keselamatan kami.


“Sejak kisah saya tular, ramai yang mahu mengambil gambar dan dapat ramai kenalan malah peniaga di sini turut ambil berat dengan keadaan kami,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor.


Kisah Danial yang tular di media sosial mendapat perhatian warganet yang tersentuh dengan tindakan kanak-kanak itu berniaga pada usia muda.


Marzuki turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan kepada mereka.


“Hanya Allah saja yang membalas setiap kebaikan, saya kasihankan Danial tetapi saya juga tiada daya untuk menghalang,” katanya yang mengidap penyakit saraf sejak kecil.


Sementara itu, Jamaliah ketika dihubungi berkata, dia sudah beberapa kali menghalang Danial namun anak tunggalnya itu tetap mahu berniaga.


Operator pengeluaran itu berkata, Marzuki menerima wang sumbangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 dan ia digunakan bagi membeli keperluan adiknya itu.


“Saya terpaksa benarkan dengan syarat dia menjaga diri dan pak su dengan baik serta tidak mengabaikan pelajaran.


“Danial memang menunjukkan minat dalam berniaga dan saya turut menasihatinya supaya dia tidak membuat perkara yang sia-sia,” kata ibu tunggal itu.


Norlida Ishak Shop