Expired : 18.06.18

'Pelajar tua' Convent Jalan Peel gamit memori

NIAT menghimpunkan rakan di bangku sekolah yang sekian lama terpisah mendorong Siti Azian Sulaiman Barawas menganjurkan Majlis Pertemuan Bekas Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Menariknya, majlis diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dihadiri 60 alumni dari 1978 hingga 1988 sebagai simbolik persahabatan mereka yang terjalin sejak mula persekolahan di tahun satu hingga tamat persekolahan di tingkatan lima.


Menurut Siti Azian,48, tempoh lima bulan diperlukan untuk merancang dan membuat persediaan bagi menjayakan program julung kali diadakan itu.


Katanya, beliau tidak berseorangan sebaliknya dibantu rakannya yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) program dan beberapa rakan alumni lain bagi memastikan majlis dirancang dapat direalisasikan.


“Selalunya, majlis seperti ini hanya diadakan untuk tahun tertentu sahaja tetapi saya dan rakan AJK mahu mencipta kelainan dengan mengundang alumni yang bersama-sama belajar dari 1978 hingga 1988.


“Namun, bukan mudah untuk merealisasikannya kerana faktor masa dan komitmen masing-masing tetapi saya berjaya mendapatkan bantuan rakan lain untuk mengundang alumni supaya hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan kerana bukan selalu ada kesempatan berkumpul seperti ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Siti Azian berkata, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dan berharap majlis berkenaan dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.


Katanya, selain mengeratkan ukhwah sesama mereka, majlis perjumpaan itu juga bertujuan mengetahui perkembangan terkini rakan alumni.


“Antaranya maklumat berkenaan rakan kurang berkemampuan selain memiliki anak istimewa, seterusnya menyalurkan bantuan bagi meringankan bebanan mereka.


“Situasi yang mereka lalui menyuntik lagi semangat saya merangka program berbentuk ziarah bersama alumni lain dari semasa ke semasa,” katanya.


Katanya, sebelum ini, mereka ada berhubung tetapi hanya sekadar bertanya khabar satu sama lain melalui laman sosial dan WhatsApp saja.


“Menerusi program ini, barulah kami berkesempatan bertemu empat mata dan peluang ini digunakan untuk bertukar cerita suka dan duka,” katanya.


Sementara itu, salah seorang alumni, Zuriana Ariffin, 48, mengakui gembira kerana dapat menyumbang idea dan tenaga dalam penganjuran program berkenaan.


“Kebetulan, saya masih berhubung dengan beberapa alumni menerusi WhatsApp selain masih menyimpan nombor telefon sebahagian lain. Jadi, ia sedikit sebanyak memudahkan urusan menghantar jemputan bagi menghadiri majlis ini.


“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan besar harapan saya untuk melihat program ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.


Norlida Ishak Shop