Expired : 18.06.18

'Saya sudah hantar anak ke syurga'

BAYI perempuan berusia tiga bulan maut dipercayai didera ibu kandungnya di sebuah kampung di Cheneh, Chukai, hari ini.


Bayi terbabit disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan di Cheneh, pada 11.30 pagi.


Difahamkan pihak klinik terbabit didatangi seorang lelaki yang membawa bayi berkenaan dalam keadaan lemah.


Susulan itu, pihak klinik memberi bantuan kecemasan untuk menyelamatkan bayi berkenaan, tetapi gagal dan pemeriksaan mendapati terdapat unsur dera terhadap mangsa sebelum laporan polis dibuat.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati bayi berkenaan dibawa bapanya ke klinik berkenaan.


Katanya, berdasarkan keterangan pihak klinik berkenaan, lelaki itu memaklumkan sewaktu dia pulang ke rumah untuk menghantar makanan didapati isterinya sedang terbaring di sebelah bayi berkenaan pada 10 pagi.


“Kemudian lelaki terbabit bertanya kepada isterinya sama ada mahu makan ke tidak, tetapi wanita terbabit memaklumkan sudah menghantar anak mereka itu ke syurga.


“Mendengar penjelasan itu lelaki terbabit serta-merta terus membawa anaknya ke klinik berkenaan dan bayi itu gagal diselamatkan.


“Pemeriksaan awal dilakukan doktor terhadap fizikal kanak-kanak terbabit didapati mungkin ada unsur penderaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat dijadualkan dilakukan di Kuala Terengganu esok.


Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian giat dijalankan dan pihaknya menunggu keputusan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya.


Norlida Ishak Shop