Expired : 18.06.18

'Setia menanti kepulangan suami'

PENANTIAN seorang isteri yang menunggu kepulangan suaminya sejak setahun 11 bulan yang lalu hampa apabila lelaki itu tidak kunjung tiba di rumahnya pada 1 Syawal, semalam.


Sambutan Aidilfitri buat Nur Azra Syazwani Abdullah, 26, dan anak tunggalnya, Muhammad Rizqi Rayyan Mohamad Aiman, 4, suram dan disambut sederhana sahaja di rumah ibu bapanya di Wakaf Che Yeh di Kota Bharu.


Katanya, dia hanya berkurung di rumah pada Aidilfitri kali ini kerana tidak mampu menyembunyikan kesedihan kehilangan suami, Mohamad Aiman Zafri, 26, yang sehingga kini gagal dikesan.


Mohamad Aiman dilaporkan hilang selepas dipercayai diculik di Jalan Pekeliling pada 5 Julai 2017, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bersama isterinya.


Nur Azra Syazwani berkata, jika dia keluar beraya, saudara-mara atau kenalan akan bertanyakan perihal suaminya, sedangkan dia sendiri tidak mempunyai jawapan kepada persoalan itu.


“Saya tidak mampu menjawab dan lebih rela berkurung dalam rumah sahaja bagi mengelakkan hati ini bertambah sedih dengan pertanyaan mereka.


“Semalam, keluarga suami datang mengambil anak kami keluar beraya dengan mereka kerana sedar saya tidak mampu membawa ke mana-mana.


“Saya sedih melihat wajah anak yang kelihatan sayu, walaupun keluar beraya beramai-ramai, mungkin kerana rindukan papanya (bapa) apabila melihat kanak-kanak lain masing-masing mempunyai ayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, ini adalah tahun kedua dia dan anak beraya tanpa suami serta sambutan Aidilfitri tidak bermakna buat mereka kerana tanpa kehadiran insan paling disayanginya.


“Ketika suami ada, kami tidak akan melepaskan peluang berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan-rakan, namun dua tahun ini ia sangat berbeza.


“Saya masih berharap suami pulang dengan selamat dan hati ini kuat mengatakan suami masih ada, namun tidak tahu di mana dia berada,” katanya.


Akhbar sebelum ini melaporkan, dalam kejadian 11.15 malam pada 5 Julai 2017, mangsa Mohamad Aiman bersama isteri yang berhenti di kedai runcit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Tembak, di Kota Bharu, didatangi sebuah kereta sebelum tiga lelaki keluar memaksa suaminya masuk kenderaan mereka.


Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu oleh isteri mangsa sebelum dihubungi seorang lelaki menggunakan nombor Thailand yang meminta wang tebusan RM50,000.


Norlida Ishak Shop