Expired : 18.06.18

'Subkhiddin, undurlah...'

KUALA TERENGGANU: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mendesak Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh supaya meletak jawatan.


Beliau menegaskan Subkhiddin patut bertanggungjawab susulan prestasi buruk pengadil Suresh Jayaraman pada final Piala Malaysia antara Terengganu FC dengan Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.



“Andai beliau (Subkhiddin) tidak mampu menjalankan tugas yang diamanahkan dan mahu menegakkan benang yang basah, saya fikir lebih baik beliau berundur daripada bersandiwara.


“Hal ini kerana jawatankuasa pengadilan yang diketuai oleh beliau tetap mempertahankan keupayaan Suresh mengendalikan aksi final walaupun hakikatnya pengadil dari Selangor itu melakukan banyak kesilapan selain keputusannya boleh dipertikaikan.


“Saya juga hairan kenapa pengadil yang saya difahamkan tidak berada dalam senarai FIFA dan sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi Piala Kementerian Pengajian Tinggi dipilih mengendalikan perlawanan sebesar itu,” katanya.


Pandangan sama turut disuarakan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH), Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang mahukan Subkhiddin berundur jika gagal melaksanakan amanah itu dengan baik.


Beliau pelik dan kurang senang dengan tindakan Subkhiddin mempertahankan pengadil kontroversi itu sedangkan banyak pihak menyelar keupayaan Suresh.


“Kenapa perlu dipertahankan lagi... kalau terbukti salah, usah tegakkan benang yang basah... dah boleh pertimbang untuk letak jawatan,” ujar Dr Najmil.


Norlida Ishak Shop