Expired : 18.06.18

'Tak benar produk Muslim tak dibeli bukan Islam' [METROTV]

KEMPEN membeli produk Muslim menjadi tular di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Ia menimbulkan reaksi pelbagai pihak sehingga ada yang melatah dan mengaitkannya sebagai isu perkauman.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi komen peribadi yang tidak bersetuju dengan kempen berkenaan.


Kempen itu tidak sesuai kerana boleh ‘membunuh’ semangat perpaduan dalam konteks Malaysia yang memiliki pelbagai kaum.


Namun, ada juga pihak yang mempertikaikan kualiti produk Muslim dan tidak menjadikannya sebagai pilihan.


Ikuti wawancara wartawan Nor ‘Asyikin Mat Hayin, juruvideo Halim Salleh dan jurugambar Khairul Azhar Ahmad bersama Timbalan Presiden Persatuan Jaringan Bisnes Muslim Malaysia (MUBIN) Mohd Adam Mohd Said bagi mengupas isu ini.


MOHD Adam. FOTO Khairul Azhar Ahmad



Produk Muslim kurang menerima sambutan daripada masyarakat Islam sendiri. Mengapa?


Perkara ini tidak akan timbul jika sesuatu produk mempunyai kualiti bagus yang sudah tentu mendapat sambutan baik semua lapisan masyarakat tanpa mengira sama ada produk itu dihasilkan peniaga Islam atau bukan Islam.


Tetapi, apabila produk itu tidak berkualiti sudah tentunya sukar mendapat sambutan daripada kedua-dua golongan berkenaan.


Saya ambil contoh restoran mamak yang diusahakan orang Islam, tetapi dapat menarik semua kaum untuk makan di situ.


Ini menunjukkan restoran terbabit berjaya memenuhi cita rasa pelanggan seperti dalam penyediaan makanan dan minuman yang lazat selain perkhidmatan lainnya juga bagus.


Ini termasuk menyediakan skrin besar yang membolehkan pelanggan lepak sehingga awal pagi sambil menyaksikan pertandingan bola sepak.


Jadi, produk orang Islam tidak mendapat sambutan daripada orang Islam sendiri bukan isu utama, tetapi bagaimana peniaga itu mampu memenuhi keperluan pelanggannya.


Kaedah pemasaran produk Muslim tidak begitu berjaya menembusi pasaran. Adakah ini betul?


Terdapat dua kaedah pemasaran iaitu konvensional dan bukan konvensional yang boleh digunakan untuk pemasaran produk.


Kaedah konvensional seperti penggunaan papan iklan dan televisyen. Peniaga Islam kurang menggunakan cara ini kerana membabitkan kos pengiklanan yang tinggi.


Bagi peniaga Islam yang baru memulakan perniagaan sudah tentu mereka tidak berkemampuan untuk menggunakan kaedah pemasaran konvensional ini.


Jika dilihat, landskap perniagaan hari ini sudah banyak berubah yang mana semakin ramai peniaga Islam memilih kaedah bukan konvensional dengan menggunakan media sosial sebagai strategi pemasaran.


Platform pemasaran ini bukan saja lebih berkesan bahkan menjimatkan kos.


Kita melihat banyak produk kecantikan dan busana Muslimah dijual di pasaran dengan menggunakan cara bukan konvensional ini. Bagi saya, ini perkembangan yang bagus.


Produk bukan Muslim boleh menembusi pasaran masyarakat Islam, namun sebaliknya bagi produk dihasilkan pengusaha Islam. Mengapa ini berlaku?


Tanggapan ini kurang tepat. Saya memberi contoh, seorang ahli MUBIN menjalankan perniagaan menghasilkan cip dan membekalkan produk itu di syarikat antarabangsa.


Populariti Upin & Ipin berjaya menarik minat syarikat penyedia perkhidmatan penstriman video Amerika Syarikat (AS), Netflix untuk menyenaraikan siri animasi itu dalam kandungan siaran mereka.


Begitu juga produk kecantikan dan busana keluaran Islam, produk ini juga banyak dibeli pelanggan bukan Islam.


Oleh itu, tidak benar mengatakan produk Muslim tidak dibeli orang bukan Islam.


Produk Muslim lebih banyak berkisar mengenai pakaian seperti tudung dan kurang produk berteknologi tinggi yang boleh digunakan semua orang. Adakah ini benar?


Kenyataan ini juga tidak betul kerana pada 2014, terdapat syarikat milik orang Islam berasaskan minyak dan gas memberikan perkhidmatannya kepada syarikat di luar negara. Ini antara contoh yang menunjukkan produk Islam bukan sembarangan kerana ia juga mempunyai potensi dalam mengeluarkan produk berkualiti di pasaran antarabangsa.


Selain itu, ahli MUBIN turut menjalankan pertanian pintar yang mengguna dan mengintegrasi teknologi terkini secara lebih meluas dalam bidang yang mereka usahakan. Penggunaan alat kawalan mampu mengawal selia aktiviti pertanian termasuk penggunaan baja dan air. Teknologi tinggi ini dibangunkan ahli MUBIN dan menjadi kebanggaan kita.


Akhir-akhir ini, orang ramai dilihat mula beralih kepada produk Muslim. Mengapa ia berlaku dan apakah nilai positifnya?


Alhamdulillah, ramai sudah menyedari dan memberi keutamaan terhadap produk Muslim. Saya berharap ia bukan kesedaran bermusim kerana ‘gelombang’ ini sudah berlaku beberapa kali sebelum ini.


MUBIN berpendapat, kita seharusnya mempunyai agenda yang tetap iaitu bukan saja membeli produk itu, tetapi juga memperkasakannya.


Ada perbezaan antara dua perkataan itu. Ini kerana jika memperkasakan produk dan usahawan Muslim, ia akan memberi kesan jangka panjang. Orang ramai akan membeli produk ini disebabkan kualiti, harga berpatutan dan bungkusan menarik. Elemen ini harus diutamakan.


Ada yang mengatakan perasaan iri hati dalam kalangan peniaga Muslim mendorong kepada penggunaan ilmu hitam. Bagaimana anda melihat perkara ini?


Masalah iri hati ini bukan saja berlaku dalam kalangan peniaga Muslim, tetapi terjadi juga kepada peniaga bukan Islam. Mereka menggunakan sihir untuk merosak atau menjatuhkan perniagaan peniaga lain.


Ini kerana mereka tiada keyakinan diri untuk bersaing secara sihat. Selain itu, mereka turut merasakan hanya produk mereka boleh menguasai pasaran tetapi apabila melihat pesaing yang lebih maju timbul rasa tidak puas hati serta dengki.


Justeru, saya ingin menasihatkan peniaga Muslim supaya sentiasa bersedia untuk bersaing dalam dunia perniagaan yang sangat mencabar ini.


Pada masa sama, mereka perlu melengkapkan diri dengan kekuatan dalaman, sentiasa bermunajat dan mengamalkan pendinding diri kerana jika ada cubaan sihir, ia mampu menghalangnya.


Pendapat tuan berkaitan ekonomi dijana orang Islam di Malaysia.


Orang Islam membantu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ini kerana jika tidak dapat menghasilkan sesuatu barangan, mereka membantu dengan cara membeli produk berkenaan.


Kita seharusnya memikirkan bagaimana untuk meningkatkan kekuatan ekonomi orang Islam. Oleh itu, mereka yang memiliki idea bagus mengenai perniagaan perlu diberikan peluang menceburi bidang ini.


Bantuan kewangan juga perlu diberikan sekiranya mereka tiada atau tidak mempunyai modal mencukupi untuk memulakan perniagaan.


Dari segi, bantuan teknikal pula, kita bantu mereka bekerjasama dengan syarikat yang mempunyai kelengkapan berteknologi tinggi dan berdaya saing.


Bagaimana mewujudkan persaingan sihat dan hubungan baik di antara peniaga Muslim dengan bukan Islam?


Nilai pasaran industri halal dunia dianggarkan lebih AS$5 trilion (RM22 trilion) dan pertumbuhan tahunannya adalah 10.5 peratus.


Pasaran ini sangat besar dan amat baik sekiranya peniaga Muslim dan bukan Islam saling bekerjasama dalam menggabungkan kepakaran mereka untuk menguasai lebih banyak pasaran itu, sekali gus dapat mewujudkan persaingan sihat dan menjalin hubungan baik di antara kedua-dua pihak.


Adalah lebih baik memikirkan pendekatan bekerjasama dan bagaimana memberikan produk terbaik kepada pelanggan daripada bergerak berasingan.


Jangan terlalu taasub meminta masyarakat Islam membeli hanya produk kita atau mengajak pembeli tidak membeli produk bukan Muslim. Ini kerana peniaga juga mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi tuntutan pelanggan.


MUBIN mengutamakan konsep keadilan yang mana kita harus mengutamakan pembeli dengan menjual produk berkualiti, memberi perkhidmatan yang baik, cepat serta memenuhi kehendak mereka.


Satu kezaliman jika meminta masyarat Islam membeli produk Muslim, tetapi tidak memberikan hak sepatutnya kepada mereka sebagai pelanggan.


Norlida Ishak Shop