Expired : 18.06.18

‘1 Pokok 1 Pelajar’ Pupuk Minda Lestari Kepada Mahasiswa Baharu UTM

JOHOR BAHRU, 5 Sept – Sebanyak 3,780 batang pokok ditanam secara berperingkat oleh mahasiswa baru bagi sesi akademik 2019/2020 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah program ‘1 Pokok 1 Pelajar – UTM New Leaf’.


Program yang bertemakan 1Pokok1Siswa1Aspirasi ini telah dijalankan menerusi program Minggu Mesra Mahasiswa UTM 2019 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dan merupakan inisiatif berkesinambungan UTM dalam membudayakan Program myTREEvolution.


Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar berkata program kerjasama yang dijalankan dengan JPNJ ini bagi menunjukkan komitmen tinggi untuk kelestarian alam dan menyahut agenda Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goal) atau SDG.


“Program usahasama ini melibatkan sebanyak 3,780 anak pokok yang bakal ditanam dalam kawasan UTM secara berperingkat dalam tempoh setahun dengan konsep ‘Sebatang pokok bagi seorang pelajar’.


Pengenalan teknologi kod QR juga akan membantu para pelajar yang menanam pokok-pokok ini dalam kerja pemantauan dan tumbesaran pokok.


Di bawah konsep Tanam, Jaga dan Pantau, pemarkahan secara merit akan diberikan kepada pelajar yang berjaya menjaga pokok yang ditanamnya sehingga tamat pengajian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penanaman pokok sebagai simbolik perasmian program ini yang telah disempurnakan oleh Pengarah JPNJ, Datuk Jeffri Abd. Rasid di perkarangan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI).


Prof. Wahid selanjutnya berkata program ini adalah inisiatif berimpak tinggi yang memfokuskan kepada penanaman semula pokok samada di kawasan hutan, rizab hutan, kawasan awam, institusi dan sebagainya sebagai salah satu cara untuk mengenepikan karbon (carbon offsetting) untuk menangani masalah pelepasan karbon yang meningkat setiap tahun.


UTM merupakan institusi yang menggunakan pengukuran MyCarbon sejak 2014 bagi mengukur karbon terkumpul dari semua sektor terlibat.


“Bagi membolehkan program ini berlangsung secara berterusan, universiti akan melaksanakan program promosi secara mingguan dan bulanan mengenai penanaman pokok dan pemuliharaan alam semulajadi di bawah perancangan jangka panjang Kampus Rendah Karbon UTM,” katanya.


Turut hadir pada majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din.


Dari kiri, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durisshah Idrus, Pengarah JPNJ, Datuk Jeffri Abd. Rasid dan Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar menunjukkan tanda bagus sebagai simbolik pelancaran program 1Pelajar 1Pokok di perkarangan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) UTM Johor Bahru.








Norlida Ishak Shop