Expired : 18.06.18

10 letupan bom gegar dua wilayah di Selatan Thailand


KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1440H, Ahad – Sepuluh letupan bom menggegarkan dua wilayah di Selatan Thailand sejak semalam dan hari ini, tetapi setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Pihak berkuasa mengesahkan empat letupan bom, termasuk dia di Balai Polis Satun di wilayah Satun, dan enam lagi dilaporkan di Phatthalung.


Ketua Polis Muang Satun, Kolonel Pacharapol Na Nakorn berkata, dalam kejadian pertama kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan), sebutir bom dipercayai meletup di dalam tong sampah di depan Balai Polis Satun.


Dalam kejadian kedua pada 10.50 malam (waktu tempatan) beliau berkata, sebutir bom meletup di tempat letak kenderaan balai polis itu yang mana ia dipasang di sebuah motosikal sebelum diletupkan.


“Siasatan skuad bom (EOD) mendapati bom yang digunakan dalam insiden itu adalah bom buatan sendiri. Tiada serpihan bom ditemui,” katanya.


Kereta dan motosikal di tempat letak kenderaan balai polis mengalami kerosakan akibat insiden itu.


Pacharapol berkata, polis juga menemui sebutir bom di pasar raya Makro, dekat sini dan ia berjaya dimusnahkan.


Sementara itu, pihak polis turut menemui empat objek yang mencurigakan di Daerah Pakpayun, Wilayah Pattalung, kira-kira 150 kilometer dari sini. Siasatan lanjut sedang dijalankan.


Dalam pada itu semalam, genap 110 tahun Patani dijajah oleh kerajaan Thailand. Pada 10 Mac 1909 satu perjanjian antara Siam dan British iaitu The Anglo-Siamese Treaty of 1909 atau Bangkok Treaty of 1909 ditandatangani membahagikan kawasan pemerintahan antaran Siam dengan British.


Isi kandungan penting perjanjian tersebut ialah negeri Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan pulau-pulau bersebelahan diserah kepada British untuk memerintah manakala lima wilayah selatan Thailand iaitu Patani, Yala, Narathiwat, Songkla dan Satun diserah kepada Thailand.


Sementara itu, rakyat Malaysia yang mengunjungi Thailand atau tinggal di negara itu dinasihatkan agar berhati-hati dan berwaspada sepanjang masa susulan satu siri letupan itu.


Dalam kenyataannya hari ini, Wisma Putra berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla mengesahkan berlaku insiden letupan di bahagian berbeza di Thailand.


“Setakat ini tiada kematian dilaporkan dan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden terbabit.


“Rakyat Malaysia yang mengunjungi atau tinggal di Thailand digalakkan mendaftarkan diri di Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsulat Jeneral di Songkla. Pendaftaran boleh dilakukan menerusi e-mel atau faks,” demikian menurut kenyataan itu.


Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok di 33-35, South Sathorn Road, Tungmahamek, Sathorn Bangkok 10120 atau menghubungi talian +66-2-629 6800 / +66-87-028 4659 (selepas waktu pejabat), Faks, +66-2-679 2208 / +66-2-679 2270 atau e-mel ke mwbangkok@kln.gov.my


Rakyat Malaysia juga boleh ke Konsulat Jeneral Malaysia di No. 4, Sukhum Road, Muang District Songkhla 90000 atau menghubungi talian +66-7-431 1062 / +66-7-431 6274, atau faks +66-7-432 4004 atau e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.


Media antarabangsa hari ini melaporkan beberapa letupan berlaku lewat malam Sabtu dan awal hari ini di wilayah Satun dan Phatthalung di selatan Thailand. – Bernama


The post 10 letupan bom gegar dua wilayah di Selatan Thailand appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop