Expired : 18.06.18

12 kenderaan terbakar di Teluk Intan dipercayai akibat khianat


TELUK INTAN, 7 Syawal 1440H, Selasa – Sebanyak 12 kenderaan terbakar dengan lapan daripadanya hangus dalam satu kejadian dipercayai angkara khianat, di sebuah bengkel di Batu 2, Jalan Maharajalela, di sini, awal pagi ini.


Ketua Polis Daerah Teluk Intan, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pemilik bengkel seorang lelaki berumur 48 tahun mengalami kerugian mencecah RM150,000.


Katanya, lokasi kebakaran merupakan ruang legar tempat letak kenderaan untuk dibaiki bagi tuntutan insurans dan premis itu telah beroperasi sejak Mac 2018.


“Kunci dipegang oleh majikan dan kerani sahaja. Ketika kejadian pagar dalam keadaan berkunci serta baik.


“Premis hanya mempunyai satu jalan masuk sahaja, dan terdapat kesan pagar dipotong di sebelah kanan premis dipercayai laluan masuk suspek ke kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Mohd Marzukhi berkata, saksi yang merupakan penjaga premis memaklumkan hanya menyedari kebakaran sekitar pukul 5 pagi, selepas terdengar bunyi penggera kereta sebelum mendapati api telah marak.


Katanya hasil siasatan awal, polis percaya insiden itu adalah perbuatan khianat dengan simbahan bahan bakar, berdasarkan penemuan satu bekas plastik berbau bahan bakar dalam salah sebuah kenderaan terlibat.


Bagaimanapun, motif sebenar insiden masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda.- Bernama


The post 12 kenderaan terbakar di Teluk Intan dipercayai akibat khianat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop