Expired : 18.06.18

13 pemain kebangsaan bukan kelebihan

KETUA jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan kelebihan memiliki 13 pemain berstatus kebangsaan bukanlah jaminan barisan pemainnya mampu memenangi kejuaraan Liga Perdana serta Piala TNB musim ini.


Sebaliknya, bekas kapten skuad negara itu berkata, barisan pemainnya perlu diuji terlebih dahulu sebelum beliau mampu meletakkan kepercayaan ke atas anak buahnya.



"Walaupun ada berstatus pemain kebangsaan, namun ada antaranya bukanlah barisan pemain utama. Tidak seperti UniKL (Universiti Kuala Lumpur) dan THT (Pasukan Hoki Terengganu) yang rata-ratanya mempunyai pemain utama skuad negara.


"Tambahan lagi kedua-dua pasukan itu diperkuatkan dengan empat pemain import berbanding kami yang masih mengekalkan kesemua pemain tempatan.


"Saya mahu melihat kemampuan mereka di awal saingan. Selepas itu barulah saya boleh memberikan gambaran sebenar di mana kemampuan sebenar kami," katanya.


Nor Saiful bagaimanapun berkata, pihak pengurusan tetap meletakkan sasaran untuk skuad bimbingannya untuk mara ke pentas final sekali gus cuba untuk muncul juara.


"Sasaran itu tetap sama pada setiap tahun dan tidak pernah berubah. Bagi saya jika kami mahu meraih kejuaraan, maka setiap pemain perlu mempamerkan prestasi lebih baik dan bukannya sekadar mampu memberi saingan kepada pasukan seperti UniKL dan THT.”


TNB akan memulakan saingan liga bertemu TNB Thunderbolts, Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.