Expired : 18.06.18

15 warga Filipina tanpa sebarang dokumen ditahan

LAHAD DATU, 30 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 15 individu warga Filipina di Pulau Sakar dekat sini dalam satu operasi bersepadu dilaksana bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini.


Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kesemua suspek berusia antara tiga dan 50 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari semasa pemeriksaan dijalankan di Kampung Tong Batu Lok Damai di pulau berkenaan.


“Pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, malah kesemua suspek mengakui secara lisan bahawa mereka berasal dari Filipina semasa disoal oleh pegawai penguatkuasa dari Jabatan Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Katanya semua suspek kini disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.


Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata operasi yang dilaksanakan itu bertujuan membanteras kemasukan pendatang haram ke Sabah.


“Operasi bersepadu hari ini melibatkan tiga pegawai serta 16 anggota PPM Lahad Datu selain empat anggota dan pegawai Imigresen. Tiga aset PPM digerakkan bagi melancarkan operasi,” katanya.- Bernama


The post 15 warga Filipina tanpa sebarang dokumen ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop