Expired : 18.06.18

17 lagi kes virus misteri di China

BEIJING, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – China mengesahkan 17 lagi kes baharu virus misteri yang dikaitkan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) hari ini, termasuk tiga daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.


Keadaan berkenaan sekali gus mencetuskan kebimbangan, apatah lagi menjelang sambutan Tahun Baru Cina minggu depan membabitkan ratusan juta penduduk.


Pihak berkuasa berkata, kesemua 17 pesakit yang dijangkiti berusia antara 30 hingga 79 tahun.


Setakat ini, misteri radang paru-paru di Wuhan telah menjangkiti 62 orang, dengan lapan daripadanya berada dalam keadaan kritikal, 19 dilaporkan sembuh dan selebihnya dikuarantin untuk rawatan.


Virus berkenaan turut mengakibatkan dua orang meninggal dunia, termasuk seorang lelaki berusia 69 tahun pada Rabu lalu akibat kegagalan buah pinggang dan beberapa organ lain.


Pihak berkuasa juga telah memulakan kajian terhadap kes pneumonia di seluruh bandar berkenaan bagi mengenal pasti punca jangkitan serta menjalankan ujian persampelan.


Pihak berkuasa berkata, beberapa kes disahkan tidak mempunyai sejarah hubungan dengan pasar makanan laut yang dipercayai pusat kepada wabak itu.


Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai langkah pemantauan di negara itu, Timbalan Datuk Bandar Wuhan, Chen Xiexin berkata, termometer inframerah telah dipasang di lapangan terbang, stesen kereta api dan stesen bas di seluruh negara.


“Penumpang yang mengalami demam didaftarkan, diberi topeng muka dan dibawa ke institusi perubatan dengan hampir 300,000 ujian suhu badan dijalankan,” katanya.- Agensi


The post 17 lagi kes virus misteri di China appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.