Expired : 18.06.18

1MDB: Azmin tidak tahu butiran terperinci laporan WSJ


KUALA LUMPUR, 2 Jamadilawal 1440H, Selasa – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau tidak mengetahui butiran terperinci laporan terkini Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa China pada 2016 menawarkan untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai pertukaran menguntungkan bagi projek kereta api dan saluran paip.


“Saya tidak mengetahui mengenai dokumen itu kerana ketika mereka menyerbu premis dan rumah (Datuk Seri) Najib (Razak), dokumen itu sudahpun dalam pemilikan pihak berkuasa.”


“Dan, oleh kerana pertuduhan masih menunggu perbicaraan di mahkamah, kita tidak boleh membuat pengadilan terlebih dahulu atau membuat sebarang komen berhubung perkara itu,” katanya ketika ditanya mengenai laporan berita itu, di sini, hari ini.


Bagaimanapun, Azmin berkata, isu itu perlu diselidiki.


“Keseluruhan proses perlu telus dan saya fikir ia adalah pendekatan yang diambil oleh kerajaan baharu,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah memberikan mesej yang jelas kepada semua pihak termasuk negara asing yang ia akan memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban.


“Kita memerlukan sokongan negara asing untuk membantu kerajaan sekarang dalam semua siasatan yang masih belum selesai (berkaitan 1MDB)”, katanya.


The Wall Street Journal, yang memetik dokumen dikatakan sebagai minit mesyuarat daripada beberapa siri mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini melaporkan bahawa, pemimpin kanan China menawarkan untuk membantu menyelamatkan dana kerajaan Malaysia pada tahun 2016 sebagai balasan bagi pertukaran menguntungkan dalam projek kereta api dan saluran paip di bawah program ‘One Belt, One Road’ membina prasarana di luar negara. – Bernama


The post 1MDB: Azmin tidak tahu butiran terperinci laporan WSJ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop