Expired : 18.06.18

2 bangunan Jalan Masjid India lokasi ke-4 diarah PKPD

BANGI, 13 Syaaban 1441H, Selasa – Kerajaan melaksanakan arahan keempat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, di Jalan Masjid India Kuala Lumpur susulan terdapat 15 kes positif COVID-19.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah berkuat kuasa mulai 7 April sehingga pengesanan kes tamat membabitkan 5,000 ke 6,000 penghuni di 365 unit kediaman serta premis perniagaan di bangunan berkenaan.


Beliau berkata, tujuan PKPD adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular, selain membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh itu berkuatkuasa.


“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.


“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Ismail Sabri berkata, semua aktiviti perniagaan juga dihentikan kecuali premis barangan keperluan di bangunan berkenaan, namun penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar dan diambil di tempat ditetapkan.


“Pangkalan Perubatan (Medical Base) dibuka di kawasan PKPD. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.


“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.


Bagi pelaksanaan perintah itu, Ismail Sabri meminta semua penghuni supaya bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.


“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL 03-40267222 atau 016-2962982,” katanya.


The post 2 bangunan Jalan Masjid India lokasi ke-4 diarah PKPD appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.