Expired : 18.06.18

21 anggota polis, tentera Afghanistan terbunuh


KABUL, 1 Jamadilawal 1440H, Isnin – Sekurang-kurangnya 21 anggota pasukan keselamatan Afghanistan terbunuh dalam serangan berasingan yang dilakukan militan pengganas, Taliban di pusat pemeriksaan wilayah barat Badghis, semalam.

Ia disifatkan adalah antara yang paling dasyat selepas serangan kumpulan bersenjata ke atas bangunan kerajaan di ibu negara itu pada Disember lalu sehingga mengorbankan lebih 40 nyawa.

Ketua Majlis Wilayah, Abdul Aziz Bek berkata, kumpulan militan menyerbu dan menyerang dua pos kawalan bersempadan dengan Turkmenistan sehingga menyebabkan 14 anggota polis dan tujuh anggota tentera pro-kerajaan terbunuh, manakala sembilan yang lain cedera.

Jurucakap Taliban, Qari Yousuf Ahmadi menganggarkan jumlah kematian mencecah 34 orang, selain mendakwa militan itu telah merampas senjata dan peluru tentera kerajaan ketika serbuan.

Dalam insiden berasingan hari ini, lima orang awam terbunuh manakala lapan yang lain cedera dalam letupan bom di wilayah timur Paktika, yang turut didalangi militan Taliban.

“Taliban meletakkan bom di kawasan kampung,” kata pegawai tempatan, Mohammad Rasoul Adel.

Sejak beberapa bulan lalu, militan berkenaan kerap melancarkan serangan menyasarkan pasukan keselamatan di seluruh Afghanistan, dan membunuh sebahagian besar pasukan polis serta orang awam.- Agensi


The post 21 anggota polis, tentera Afghanistan terbunuh appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop