Expired : 18.06.18

21 jenis bahan kimia dalam kolam takungan banjir di Klang


KLANG, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Hampir 21 jenis bahan kimia ditemui di dalam kolam takungan banjir di Taman Eng Ann di sini berdasarkan laporan awal kajian makmal yang dilakukan terhadap sampel air di kawasan pencemaran terbabit.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Klang Datuk Teng Chang Kim berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh pihak forensik sebelum dapat menentukan jenis sebatian kimia yang mencemarkan kolam itu.

“Hasil ujian makmal yang dilakukan, kita dapat mengesan terdapat kira-kira 21 bahan kimia di dalam sampel yang diambil daripada kolam takungan banjir itu,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi pencemaran berkenaan di Jalan Kasawari 2, Taman Eng Ann di sini, hari ini.

Exco Selangor itu turut berkata, kerja-kerja pembersihan giat dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk, menggunakan kaedah ‘oil boom’ dan ‘oil pad’ iaitu dengan menyerap serta menyekat sisa bahan kimia tersebut.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah menutup tali kunci air Bukit Kuda bagi mengelak penyaluran air dari kolam itu terus tercemar ke Sungai Klang.

“Kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hari,” katanya.

Selain itu, siasatan awal mendapati sisa kimia itu dibuang di dua lokasi iaitu kawasan takungan air banjir dan beberapa longkang sekitar yang menghubungkan laluan air sepanjang 1.5km ke Sungai Klang.

Beliau berkata, sisa yang terdapat di dalam kolam takungan berkenaan tidak mengalir ke longkang dan akan disedut sepenuhnya sebelum dilupuskan.

Sementara itu, LUAS dalam satu kenyataan berkata, hasil bantuan daripada penduduk setempat, mereka berjaya menemui lori tangki yang disyaki digunakan untuk membuang sisa. Kini, proses menjejaki pemilik lori tersebut sedang dilakukan bagi tindakan perundangan berkaitan.

Kenyataan itu berkata, laporan polis telah dilakukan sekitar jam 8.30 pagi tadi berhubung isu tersebut.

“Kontraktor pembersihan telah dilantik oleh LUAS dan kerja-kerja pembersihan sisa di dalam kolam dan longkang berkenaan dimulakan pada jam 9 pagi hari ini,” katanya.

Justeru, pihak polis telah pun membuka kertas siasatan berhubung isu pencemaran ini selepas menerima laporan polis daripada LUAS. – Bernama


The post 21 jenis bahan kimia dalam kolam takungan banjir di Klang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop