Expired : 18.06.18

22 kawasan pulih dari masalah air berbau kurang enak

Sebanyak 33 kawasan terjejas akibat masalah air berbau kurang enak. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Sebanyak 33 kawasan terjejas akibat masalah air berbau kurang enak. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 6 Okt — Sebanyak 22 daripada 33 kawasan yang terjejas akibat masalah air berbau kurang enak telah pulih sehingga jam 6 petang semalam.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor Abdul Raof Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata pemantauan, pemeriksaan, aktiviti pencucian kolam dan sistem agihan masih lagi diteruskan bagi memastikan semua kawasan yang terkesan dengan kes air berbau itu pulih sepenuhnya.


“Sehingga 6 petang tadi, 71 aduan baharu diterima dan tindakan sedang diambil bagi proses ujian pensampelan dan pencucian sistem perpaipan di kawasan dan premis aduan.


“Pelanggan di kawasan yang telah menjalani proses pencucian dinasihatkan menghubungi kami sekiranya masih lagi mengalami bekalan air berbau,” katanya.


Sebelas kawasan yang masih terjejas adalah di Puchong Prima, Seri Kembangan dan Saujana Puchong di Wilayah Petaling; Bukit Puchong, Bukit Puchong II, Seri Kembangan, Kota Warisan, Salak Tinggi dan Taman Mawar BB Salak Tinggi di wilayah Sepang; Bangi Seksyen 3 di wilayah Hulu Langat dan Saujana Putra, Kuala Langat.


Katanya, Air Selangor akan terus memberi makluman dan status terkini dari semasa ke semasa dan pelanggan boleh menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800919/019-2816793 bagi sebarang bantuan. — Bernama


Norlida Ishak Shop