Expired : 18.06.18

26 orang awam terbunuh serangan udara di Syria


DAMSYIK, 2 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 26 orang awam, termasuk 14 kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan sekutu Amerika Syarikat (AS) di Dayr al-Zawr, wilayah timur Syria semalam.


Pasukan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, yang berpangkalan di United Kingdom (UK) berkata, orang awam, termasuk 14 kanak-kanak dan sembilan wanita itu, adalah semua ahli keluarga militan Daesh.


Serangan udara itu dilaporkan menyasarkan tempat persembunyian militan pengganas berkenaan di bandar Hajin, yang terletak di sepanjang Sungai Euphrates, selatan Dayr al-Zawr.


Serangan itu turut membunuh tujuh lagi orang awam di kampung al-Shaafa pada Khamis lalu, kata Ketua Pasukan Pemantau, Rami Abdel Rahman.


Minggu lalu, serangan udara yang diketuai AS turut meragut nyawa 15 orang awam di bandar Hajin – kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.


Bulan lalu, Duta Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bashar al-Ja’afari dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengesahkan bahawa AS menggunakan bom fosforus terhadap Hajin.


Bandar Hajin dan al-Shaafa merupakan kubu terakhir militan pengganas Daesh di timur Dayr al-Zawr, yang bersempadan dengan Iraq.- Agensi



The post 26 orang awam terbunuh serangan udara di Syria appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop