Expired : 18.06.18

297 Pelajar UTM dari Zon Timur ‘Balik Kampung’

JOHOR BAHRU, 8 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghantar 297 orang pelajar UTM ke Zon Timur iaitu pelajar yang berasal dari Pahang, Kelantan dan Terengganu, semalam.


Sebanyak 33 buah bas ditugaskan membawa pelajar-pelajar ini ke Ibu Pejabat Polis Daerah masing-masing seperti yang telah ditetapkan.


Selain pelajar UTM, 120 orang lagi pelajar turut dihantar ke Zon Timur termasuk pelajar dari Politeknik Ibrahim Sultan, Universiti Teknologi MARA kampus Pasir Gudang dan Kolej Komuniti Pasir Gudang serta beberapa lagi IPTS sekitar Johor Bahru seperti Netherlands Maritime Institute of Technology, KPJ dan Kolej Universiti Selatan.



Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Dr Durrishah Idrus berkata, penghantaran pelajar adalah berlangsung dengan lancar dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.


“Sehingga kini, UTM selaku Ketua task force Zon Selatan mendapat maklum balas yang amat baik dari semua pihak di seluruh Malaysia,” kata beliau.


UTM memastikan setiap pelajar diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki bas. Pelajar juga perlu mengisi borang pengisytiharan sihat yang disediakan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU).




Bas yang membawa pelajar pulang juga telah menjalani kerja-kerja disinfeksi termasuk bagasi pelajar oleh anggota bomba melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Skudai, Iskandar Puteri, Pekan Nenas, Pontian dan Pontian Baru.


Pada 7 Mei juga, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahaya Madis turut hadir memantau pasukan bomba yang melakukan sanitasi ke atas bas-bas yang membawa pelajar UTM dan institusi pendidikan lain untuk pulang ke pantai timur malam ini di Dataran UTM.



Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahaya Madis (dua dari kiri) memantau proses sanitasi bas di Dataran UTM diiringi oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (berbaju putih)



Pemantauan beliau turut disertai oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar dan beberapa pegawai kanan universiti yang lain.



Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis (kiri) berbincang sesuatu dengan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar usai proses sanitasi bas di Dataran UTM



Terdahulu pada 6 Mei, bagi fasa ketiga UTM telah menghantar 189 orang pelajar dari Sarawak ke KLIA menaiki 11 buah bas.


Pelajar tersebut telah selamat berlepas ke Kuching dan selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.


Menurut Prof Durrishah, UTM akan menghantar pelajar melalui  beberapa fasa lagi iaitu bagi pelajar yang berasal dari Zon Perak dan Zon Utara dan penghantaran pada 10 Mei ini dijangka merupakan perjalanan terbesar pelajar yang akan dihantar.


“Bagi memastikan semua berjalan lancar, UTM sentiasa mematuhi arahan Kementerian Pendidikan Tinggi dari semasa ke semasa,” tambah beliau.