Expired : 18.06.18

3 ditetak pergaduhan dua geng berebut kawasan edar dadah


JOHOR BAHRU, 3 Rejab 1440H, Ahad – Tiga lelaki ditemui cedera parah di dua lokasi berasingan dekat sini, dipercayai akibat pergaduhan merebut kawasan pengedaran dadah, petang semalam dan hari ini.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dua lelaki ditemui cedera parah di ladang kelapa sawit, Jalan Permas Utara, petang semalam, manakala seorang lagi di Masai hari ini.


Dua mangsa yang ditemui di ladang kelapa sawit berumur masing-masing 46 dan 39 tahun, dengan seorang putus pergelangan tangan kanannya, manakala seorang lagi putus ibu jari tangan kiri.


“Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.


“Namun pihak hospital tidak berjaya menyambung semula pergelangan tangan mangsa disebabkan sel telah mati, manakala mangsa yang putus jari berjaya disambung semula,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.


Mohd Khalil berkata, seorang lagi yang dijumpai hari ini di Masai pula mengalami luka di tangan kiri.


Beliau berkata, turut dijumpai sebuah motosikal yang terbakar hangus dipercayai digunakan oleh salah seorang mangsa.


“Hasil siasatan mendapati mangsa telah ditetak oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjatakan parang. Kita percaya ia berpunca daripada perebutan kawasan pengedaran dadah,” katanya lagi.


Katanya, pihak polis telah menangkap seorang lelaki berumur 34 tahun dipercayai terbabit dalam kes ini.


“Suspek ditahan di sebuah apartmen di Permas Jaya pada jam 1.10 pagi tadi,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 326/435 Kanun Keseksaan.


Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat manakala jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 435 pula, boleh dipenjara sampai tujuh tahun dan denda.


Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi terus talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat, ASP Muhamad Afdhal di nombor 013-7711152. – Bernama


The post 3 ditetak pergaduhan dua geng berebut kawasan edar dadah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop