Expired : 18.06.18

3 Generasi Setia Bersama UTM, Azhad Penyambung Legasi Tan Sri Ainuddin Wahid di UTM

JOHOR BAHRU, 5 Nov. — Azhad Saifuddin menjadi penyambung legasi Naib Canselor Pertama UTM, Tan Sri Dato’ Ainuddin Abdul Wahid apabila beliau secara rasminya menjadi alumni UTM selepas dianugerahkan Diploma Teknologi Maklumat dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-63.


Azhad merupakan cucu kepada Tan Sri Ainuddin dan meneruskan tradisi keluarga beliau selepas bapa beliau, Saifuddin Ainuddin juga merupakan alumni UTM.


Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (dua dari kanan) meluangkan masa bersama Azhad (kanan) serta bapa beliau, Saifuddin Ainuddin (dua dari kiri) bersama Pendaftar UTM, Abdul Razib bin Hj Shahuddin (paling kiri)



Tan Sri Ainuddin merupakan mantan Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) pada tahun 1969 dan seterusnya memainkan peranan penting dalam mentranformasi maktab tersebut kepada Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) pada 1972 sebelum dinaik taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tiga tahun kemudian.


Beliau merupakan perintis kepada penubuhan dua kampus UTM iaitu di Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang sehingga kini telah menggraduankan 198,593 pelajar.


Ini juga membuktikan keunggulan UTM yang tetap menjadi pilihan utama biarpun dengan adanya pelbagai lagi pilihan universiti yang lain di pasaran.


Kejayaan ini juga merupakan pengiktirafan kualiti akademik jurusan kejuruteraan dan komputer UTM di samping pengiktirafan dari segi ranking di peringkat antarabangsa dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.


Azhad Saifuddin telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan dianugerahkan dengan Anugerah Dekan atas kecemerlangan akademiknya pada setiap semester.


Bercakap dalam sidang media yang diadakan selepas menghadiri majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, Azhad berkata beliau amat bangga kerana dapat menamatkan pengajiannya dengan cemerlang di universiti yang pernah diterajui oleh Allahyarham datuknya.


“Secara jujurnya saya amat bangga dengan UTM dan juga pencapaiannya pada hari ini. Setiap hari dan setiap saat semasa mengikuti pengajian di universiti ini, saya cuba untuk menghayati semangat datuk saya semasa zaman awal penubuhan institusi ini.


“Allahyarham datuk adalah seorang yang cukup kuat semangat dan iltizamnya. Kerana usahanya itulah maka lahirlah UTM sepertimana yang dapat kita lihat pada hari ini dan sebagai cucu, saya amat berasa bangga dengan kerana ianya amat bermakna buat kami sekeluarga,” katanya lagi.


Sebagai cucu kepada mantan Naib Canselor pertama universiti itu, Azhad menafikan yang beliau menerima sebarang layanan istimewa sepanjang mengikuti pengajian di UTM.


“Saya tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa dari pentadbiran UTM. Sebagai mahasiswa, saya juga tertakhluk kepada peraturan universiti dan juga akademik sepertimana yang telah ditetapkan.


“Sepertimana mahasiswa lain juga, saya perlu menghadiri sesi kuliah dan juga dikehendaki menyiapkan dan menghantar tugasan serta menduduki peperiksaan pada setiap semester untuk lulus dalam pengajian,” katanya lagi.


Terima kasih Tan Sri. Kini, lagenda Tan Sri dan UTM diperhebatkan lagi dengan generasimu.


Norlida Ishak Shop