Expired : 18.06.18

32 Ahli Dewan Negara Tetap Bersama BN, Sepakat Bawa Isu Pro-Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ahli-ahli Dewan Negara Barisan Nasional (BN) sepakat untuk terus bersama dan membawa isu-isu pro-rakyat dalam persidangan Dewan Negara yang akan bermula esok di Parlimen.


Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa BN mempunyai 32 ahli Dewan Negara untuk menterjemahkan pelaksanaan acuan yang telah dibahaskan di Dewan Rakyat.


“Daripada 67 Ahli Dewan Negara, BN mempunyai seramai 32 ahli biarpun dua daripada ahli telah meninggalkan BN… jumlah 32 itu telah mengambil kira mereka yang telah meninggalkan kita untuk menyertai parti lain,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama senator-senator BN di Ibu Pejabat BN, Menara Dato Onn, hari ini.


“Mesyuarat yang diadakan ini adalah untuk mengkoordinasikan persidangan Dewan Negara yang akan bermula esok.



“Terdapat beberapa perkara utama yang kita hendak selaraskan iaitu Rancangan Malaysia ke-11 dimana kajian separuh penggal telah dilakukan dan ini akan menjadi kayu ukur, begitu juga berkaitan Bajet yang telah dibentangkan selain beberapa akta yang lain.


“Untuk keseluruhan 32 ahli-ahli Dewan Negara ini, kesepakatan telah dibuat, berdasarkan acuan yang telah dilakukan di Dewan Rakyat maka ia akan diterjemahkan untuk pelaksanaanya di Dewan Negara. Dengan ini isu-isu yang pro-rakyat akan diberikan keutamaan oleh ahli-ahli Dewan Negara.”


Dalam hal yang lain, beliau melahirkan keyakinan bahawa ahli Dewan Negara yang ada tersebut akan terus bersama BN.


“Kita melihat bahawa walaupun percubaan oleh dua orang Senator yang dulunya bersama-sama dengan kita tetapi saya telah diberikan keyakinan dan kami mempunyai kepercayaan sepenuhnya bahawa 32 ahli-ahli Dewan Negara ini akan tetap bersama-sama dengan BN dan ahli-ahli yang mewakili UMNO juga akan tetap bersama-sama dengan UMNO,” katanya yang juga Presiden UMNO.


Ujarnya, BN tahu bahawa dalam situasi kepayahan begini banyak cubaan dari luar yang cuba untuk memancing ahli-ahli Dewan Negara BN.


“… tetapi saya yakin ahli-ahli Dewan Negara yang ada ini akan tetap bersama kita.”


Beliau memaklumkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri selaku Naib Pengerusi BN bersama-sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Aziz akan membantu mengkoordinasikan dan memberikan motivasi bersama-sama ahli-ahli Dewan Negara yang ada.


Dalam masa yang sama, beliau turut menjawab soalan berkenaan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membuka cawangan di Sarawak semalam.


“Saya amat menghormati kehendak rakyat pribumi di Sarawak kerana Sabah dan Sarawak agak unik. Apabila UMNO membuat keputusan untuk tidak mengembangkan sayapnya di Sarawak maka ia adalah untuk menghormati citarasa politik orang di Sarawak. Dalam keadaan ini tentunya citarasa orang Sarawak berlainan dengan orang-orang dari negeri lain.


“Kami yakin rakyat Sarawak akan menolak kehadiran parti berkenaan kerana hakikatnya mereka lebih dekat dengan parti-parti yang berasaskan kepada kepentingan untuk rakyat Sarawak secara khusus,” katanya lagi. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop