Expired : 18.06.18

39 maut banjir buruk di Pakistan


KARACHI, 11 Syaaban 1440H, Rabu – Hujan lebat diikuti banjir kilat yang melanda Pakistan sejak dua hari lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 39 nyawa dan menyebabkan puluhan lain cedera, menurut pegawai dan media tempatan hari ini.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional berkata, kebanyakan kematian dilaporkan dari Khyber Pakhtunkhwa (KP) dan wilayah Balochistan, iaitu kawasan yang terjejas teruk akibat hujan lebat berhampiran negara jiran, Iran.



Tidak hanya mengorbankan banyak nyawa, kira-kira 80 buah rumah juga rosak teruk di dua wilayah itu, kata pihak berkuasa.

Cuaca buruk yang melanda wilayah itu memaksa ratusan penduduk di Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan berpindah ke kawasan selamat.

Pada masa yang sama, beberapa bandar di timur laut Punjab juga dilanda hujan lebat, lapor agensi berita tempatan.



Menerusi rakaman yang disiarkan di televisyen juga memaparkan beberapa kenderaan terperangkap banjir dengan paras air mencecah pinggang, ketika pasukan penyelamat yang turut dibantu tentera memindahkan mangsa terjejas di Balochistan.

Hujan lebat yang berlaku bukan pada musimnya berserta angin kencang itu, turut menumbangkan pokok, tiang elektrik dan papan tanda di beberapa bandar, selain menyebabkan kerosakan pada tanaman gandum.

Kebanyakan angka kematian berpunca daripada runtuhan bumbung kediaman dan akibat renjatan elektrik.

Jabatan meteorologi meramalkan keadaan hujan akan bertambah buruk dalam tempoh 24 sehingga 48 jam seterusnya di seluruh negara. – Agensi



The post 39 maut banjir buruk di Pakistan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop