Expired : 18.06.18

4 bersaudara hilang selepas keluar memancing

REMAJA perempuan antara empat bersaudara dari Kampung Geobilt, Kuching dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar memancing pagi semalam.


Fatiha Ayuni Aini, 15, dikatakan keluar bersama tiga yang lain iaitu Manja Yusop, 47; Hadip Adam, 36, dan Azuan Zazul, 26, untuk memancing ikan dan udang di kawasan Pulau Lakei.


Mereka dipercayai keluar pada 9.30 pagi dari Pangkalan Bako dan susulan itu, ibu Fatiha membuat laporan di Balai Polis Bintawa pada 9.51 malam tadi.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, berdasarkan maklumat awal kesemua mangsa itu dikatakan menaiki bot kayu berbumbung warna biru-putih dan menggunakan enjin pam tujuh kuasa kuda.


“Pengadu juga memaklumkan bahawa terdapat beberapa orang kampung sudah keluar bagi membantu mengesan mangsa yang hilang.


“APMM Sarawak juga mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 10.40 malam tadi dan menubuhkan pengkalan hadapan di jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS),” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Menurutnya, pihak APMM Sarawak juga sudah memaklumkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu operasi itu.


“Pihak kami memohon jika orang awam mempunyai sebarang maklumat agar dapat menghubungi segera Pusat Operasi APMM Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.


Norlida Ishak Shop