Expired : 18.06.18

4 lelaki bersenjata serang hotel di Pakistan sasar warga China


ISLAMABAD, 7 Ramadan 1440H, Ahad – Beberapa individu bersenjata dilaporkan menyerang sebuah hotel lima bintang di bandar pelabuhan Gwadar, di wilayah Balochistan, Pakistan, membunuh sekurang-kurangnya seorang mangsa.


Dalam satu kenyataan, tentera Pakistan berkata, empat lelaki bersenjata membunuh pengawal keselamatan ketika mereka cuba memasuki Hotel Zaver Pearl-Continental di bandar yang menjadi pusat projek China bernilai berbilion-bilion ringgit.


Kumpulan pemisah Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) yang berjuang untuk memerdekakan wilayah itu mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.


“Pejuang kami telah melakukan serangan ini terhadap orang China dan pelabur asing lain yang tinggal di hotel PC,” kata Jihand Baloch, jurucakap BLA.


Dalam kejadian itu, empat penyerang menyerbu hotel berkenaan yang popular dengan pegawai kerajaan dan warga asing kira-kira jam 11.50 GMT, membunuh seorang pengawal keselamatan yang cuba menghalang mereka.


Bagaimanapun, jurucakap hotel berkata, tidak ramai pekerja dan pelanggan ketika serangan itu kerana bulan Ramadan.


BLA menentang projek yang dibangunkan oleh China kerana mendakwa ia tidak memberi kebaikan kepada penduduk tempatan.


Gwadar adalah tapak pelabuhan utama yang dibina dalam projek Koridor Ekonomi China (CPEC) – koridor perdagangan yang menghubungkan barat daya China ke Laut Arab melalui Pakistan.


Projek bernilai AS$60 bilion itu menyaksikan pelaburan besar dalam infrastruktur di seluruh Pakistan, termasuk jalan utama.


Sejak kebelakangan ini, keganasan di wilayah itu meningkat dengan kumpulan pemisah etnik Baloch melakukan serangan terhadap pasukan keselamatan dan orang awam.


Khamis lalu, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh apabila individu bersenjata menyerang sebuah lombong arang batu di daerah Harnai, Balochistan. – Agensi


The post 4 lelaki bersenjata serang hotel di Pakistan sasar warga China appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop