Expired : 18.06.18

433 Jam Tangan Berjumlah RM80 Juta Disita Dari Kondo Mewah

433 utas jam tangan berharga RM80 juta

Sebanyak 433 utas jam tangan berjenama ditemui dalam 37 beg yang dirampas dari kondominium mewah, Pavilion Residences di ibu negara dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.


China Press melaporkan hasil penilaian ke atas jam tangan itu, pakar menganggarkan semuanya mencecah RM80 juta, termasuk seutas jam tangan paling mahal berharga RM3.5 juta yang difahamkan berjenama Rolex.


Difahamkan, seutas lagi jam tangan jenama Cecil Purnell berharga RM1.2 juta, manakala jenama lain terdiri daripada Patek Philippe dan Richard Mille.


Akhbar itu melaporkan proses pengiraan dan penilaian ke atas 37 beg berisi jongkong emas, barang kemas dan jam tangan itu yang bermula 30 Mei lalu, kini di peringkat akhir dan masih ada sebahagian barang kemas jarang ditemui yang belum dinilai pakar.


Menurut laporan, pakar mengambil masa 5 hari, mulai 30 Mei untuk menyelesaikan kerja menilai semua jam tangan berjenama yang diisi dalam 6 beg itu.


Difahamkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh sudah mengarahkan proses penilaian semua jongkong emas, barang kemas dan jam tangan itu diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri atau anggota terbabit tidak dapat bercuti raya.


Pada 25 Mei lalu, Amar Singh mengumumkan pelbagai mata wang berjumlah RM114 juta ditemui dalam 35 beg yang dirampas dari Pavilion Residences, manakala baki 27 beg mengandungi barang kemas serta barang berharga lain yang perlu dinilai pakar.


Polis sebelum ini merampas 72 beg dan 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dalam operasi penggeledahan 6 premis dikaitkan dengan Najib sejak malam 16 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan dalam skandal 1MDB.


Enam premis itu adalah kediaman peribadi Najib di Taman Duta, 3 kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009.


The post 433 Jam Tangan Berjumlah RM80 Juta Disita Dari Kondo Mewah appeared first on Malaysian Access.


Norlida Ishak Shop