Expired : 18.06.18

55 cedera diserang askar rejim Zionis di sempadan Gaza-Israel


GAZA, 14 Muharram 1441H, Sabtu – Lebih 50 rakyat Palestin cedera akibat serangan pasukan rejim pengganas Israel ketika protes anti-pendudukan yang diadakan setiap minggu berhampiran pagar pemisah antara Gaza dengan wilayah yang diduduki.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 55 orang cedera dalam serangan tentera Israel ketika protes mingguan ke-74, semalam.

Jurucakap kementerian, Ashraf al-Qedra berkata, 29 orang dilaporkan cedera akibat peluru hidup.

Tentera yang ditempatkan di sempadan Israel melepaskan tembakan ke ratusan penunjuk perasaan Palestin yang berkumpul di pagar bagi menuntut hak untuk pulang ke tanah air mereka yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel sejak Mei 1948.

Protes mingguan – ‘The Great March of Return’ – adalah protes yang dilancarkan pada 30 Mac tahun lalu oleh ribuan rakyat Palestin di Gaza kerana menderita akibat pengepungan Israel selama sedekad.

Sejak bermulanya protes itu, sekurang-kurangnya 307 rakyat Palestin terbunuh, manakala 18,000 yang lain cedera, kata kementerian berkenaan.

Israel juga telah melancarkan tiga serangan besar ke atas wilayah dikepung itu sejak 2008, yang membunuh ribuan rakyat Gaza dan menghancurkan banyak infrastrukturnya.- Agensi


The post 55 cedera diserang askar rejim Zionis di sempadan Gaza-Israel appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop