Expired : 18.06.18

6 pemimpin parti politik dititah menghadap Sultan Nazrin

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah menitahkan pemimpin utama dari enam parti menghadap baginda, dipercayai berhubung isu penggunaan masjid dan surau untuk aktiviti politik di negeri itu.


Kesemua pemimpin terbabit adalah dari Bersatu, Amanah, PKR, DAP, Umno dan PAS, lapor Berita Harian.


Mereka termasuk Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang juga pengerusi Bersatu Perak, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).


Di pihak pembangkang, pemimpin yang dipanggil adalah Ketua Perhubungan UMNO Perak, Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.


Laporan itu, memetik sumber, berkata semua pemimpin berkenaan menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pada jam 4 petang tadi.


Mereka dipanggil berhubung isu penggunaan masjid dan surau serta kemudahannya dalam aktiviti atau program berunsur kepartian ketika bulan Ramadan, termasuk menggunakan logo parti.


Namun, tidak dinyatakan sama ada pertemuan tersebut turut membincangkan agenda lain.


Terdahulu hari ini, ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zakarnain Abdul Munaim mendakwa mengesan sekurang-kurangnya empat program menggunakan nama parti pembangkang di masjid dan surau di negeri itu, baru-baru ini.


Kenyataannya itu bagaimanapun mendapat kritikan lalu disusuli penyebaran gambar-gambar program anjuran DAP yang turut menggunakan logo parti termasuk oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.


The post 6 pemimpin parti politik dititah menghadap Sultan Nazrin appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop