Expired : 18.06.18

7 Perkara Mengecewakan Pada iPhone 11, 11 Pro Dan 11 Pro Max

Pelancaran model iPhone terkini akan menerima pelbagai reaksi dan negatif di kalangan peminat teknologi peranti mudah alih. Bagi peminat Apple, iPhone 11 membawakan pelbagai fungsi menarik yang membuatkan ia perlu dibeli pada hari pertama. Bagi pengguna Android pula meme “Oh akhirnya iPhone setanding Android” dikeluarkan 5 saat selepas pengumuman dilakukan. Sebelum kami menerbitkan artikel 11 perkara menarik. Kini giliran untuk melihat 11 perkara yang mengecewakan pada iPhone 11, 11 Pro dan 11 Pro Max pula.


Baca – 11 perkara menarik pada iPhone 11, 11 Pro dan 11 Pro Max


1.Bonggol Kamera Yang Amat Besar


Pernah suatu ketika rekaan iPhone dipuji kerana setiap elemen adalah seimbang dam mesra pengguna. Steve Jobs pernah berkata peranti dengan skrin sebesar 5.5″ adalah tidak mesra pengguna kerana antaramuka yang sukar diakses dengan sebelah tangan. Selepas kematian beliau berlaku anjakan paradigma di Apple di mana mereka mula mendengar input dari pengguna dan hasilnya ialah peranti Plus dengan skrin yang lebih besar.


Pada iPhone 11, rekaan yang paling mendatangkan kontroversi ialah bonggol kamera yang paling besar pernah ditemui pada iPhone. Ia bukan sahaja besar tetapi juga tinggi bagi membolehkan tiga kamera digunakan pada model Pro dan dua kamera pada model biasa. Hasilnya ialah panel belakang yang tidak lagi kelihatan elegan sehingga menimbulkan masalah trypofobia. Seperti lubang kamera pada S10, rekaan tri-kamera dan bonggol yang besar ini menjadi meme sejurus selepas upacara pelancaran. Tidak seperti lubang kamera Samsung, tiada perisian yang boleh menyorokkannya dari pandangan.


2.Storan Asas 64GB


Kami memahami mengapa iPhone 11 ditawarkan dengan storan 64GB bagi menawarkannya pada harga yang paling rendah. Tetapi penawaran model 64GB sebagai pilihan paling kecil pada iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max adalah tidak masuk akal. Perkataan Pro dan storan 64GB adalah seperti minyak dan air yang tidak boleh bercampur. Ruang storan ini akan cepat dipenuhi sekiranya ia digunakan untuk mengambil puluhan video 4K 60FPS dan Slofies.


iPhone tidak pernah menyokong kad mikro SD dan pada hemat kami 64GB kini hanya sesuai ditawarkan pada telefon pintar kelas pertengahan. Di pasaran Malaysia storan 128GB kini dianggap sebagai cukup-cukup makan sahaja. Samsung dan Huawei sejak tahun ini menawarkan storan 256GB sebagai yang paling kecil pada Note 10+ dan P30 Pro. Kedua-dua peranti mercu ini walaupun mempunyai storan yang besar masih dijual pada harga yang jauh lebih rendah. Oleh itu keputusan Apple menjual model dengan storan yang kecil ini mengecewakan.


3.Pengecas Pantas Tidak Disertakan Dengan iPhone 11


Jika anda membeli sebuah peranti kelas permulaan Android hari ini seperti Xiaomi Mi A3 misalnya anda akan menemui pengecas 10W disertakan dengan setiap pembelian. Peranti ini dijual pada harga bawah RM900 sebuah. Tetapi jika anda membeli iPhone 11 pada 27 September pada harga bermula RM3399, anda hanya akan menerima pengecas 5W.  Kedua-dua peranti ini menyokong pengecasan USB-PD 18W.


Apple hanya menyertakan pengecas 18W dengan setiap pembelian iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max. Kegagalan mereka untuk menyertakan pengecas pantas dengan setiap pembelian adalah misteri Nusantara yang tidak mampu dirungkai oleh Zainal Ariffin Ismail sekalipun. Jika tidak mahu menyertakan pengecas 18W sekalipun, pengecas 10W sepatutnya diberikan kerana ia standard pada kesemua iPad yang mereka jual di pasaran sekarang.


4.Pengecas Pantas Yang Tidak Sepantas Pesaing


Walaupun pengecas pantas disertakan sekalipun, format pengecasan yang disokong pula perlahan jika dibandingkan dengan yang ditawarkan oleh pesaing. Samsung kini menyokong pengecasan 45W, Huawei menyokong 4oW dan Oppo menyokong 65W. Kesemua ini membolehkan peranti dicas lebih pantas sesuai dengan gaya kehidupan manusia moden yang tidak mahu menanti lama sebelum peranti boleh digunakan semula.


Sistem pengecasan tahap Noob yang disokong adalah tidak kongruen dengan peranti yang mempunyai perkataan Pro di dalam namanya. Tambahan lagi sistem pengecasan nirwayar Qi yang disokong juga masih lagi lebih perlahan jika dibandingkan dengan disokong oleh peranti Xiaomi dan Samsung.


5.Kamera Masih Tiada Kawalan Manual


Saban tahun Apple menjanjikan kualiti gambar yang dipertingkatkan berbanding model tahun lalu. Tahun demi tahun juga apa yang mereka katakan adalah benar. Ini adalah penyebab mengapa ramai peminat fotografi mudah alih memilih peranti Apple. Namun begitu pengguna tegar ini juga merungut sejak zaman berzaman tentang aplikasi kamera iPhone.


Sehingga iOS 13, sistem kawalan manual pada aplikasi kamera natif tidak disertakan. Kawalan yang diberikan adalah terlalu asas bagi mereka yang menggemari fotografi. Terdapat beberapa aplikasi di App Store yang memberikan kawalan yang lebih terperinci seperti dedahan dan kelajuan pengatup. Jika aplikasi pihak ketiga boleh memberikannya, tiada alasan untuk Apple tidak menyertakan kawalan manual secara terbina. Sekali lagi kami ulangi untuk peranti dengan nama Pro, aplikasi kamera yang lebih mesra pengguna amatur tidak lagi boleh dimaafkan.


6.Zum Optikal Yang Rendah


Kemampuan zum optikal iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max masih lagi terhad kepada 2X. Tiada peningkatan kemampuan zum optikal sejak iPhone 7 yang dilancarkan pada tahun 2016. Dalam tempoh tiga tahun ini Huawei melancarkan peranti Mate 20 Pro dengan kemampuan zum optikal 2X sebelum enam bulan selepas itu melancarkan pula P30 Pro dengan kemampuan zum optikal 5X. Penambahbaikan teknologi zum pada Huawei dalam masa enam bulan adalah jauh lebih menakjubkan berbanding Apple dalam masa 36 bulan.


Dari segi kemampuan mengambil gambar statik. Huawei masih lagi jauh di hadapan pengeluar lain sama seperti dominasi Apple dalam penghasilan cip untuk peranti mudah. Apple lewat setahun untuk memperkenalkan lensa sudut ultra lebar pada peranti mereka. Dengan ini mereka mungkin akan memperkenalkan sistem zum yang lebih baik pada iPhone 12 kelak. Sekiranya penambahbaikan sekurang-kurang zum optikal 3X tidak dilakukan, iPhone 12 akan sekali lagi menjadi pengikut dan bukan penetap trend.


7.Tiada Pengecasan Nirwayar Berbalik


Samsung Galaxy Note 10Apabila anda membeli peranti pada harga melangkaui RM4000, secara logiknya anda mengharapkan ia adalah peranti yang paling lengkap di pasaran. Pada awalnya terdapat ura-ura iPhone 11 akan hadir dengan fungsi mengecas peranti lain secara nirwayar. Namun pada 10 September lalu, jelas sekali fungsi ini tidak disertakan.


Kami boleh memaafkan sekiranya iPhone 11 tidak menyokong sistem ini tetapi tidak pada iPhone 11 Pro kerana ia sebuah peranti untuk profesional. Dengan AirPod, PowerBeats Pro dan Apple Watch menyokong pengecasan nirwayar, Apple sepatutnya setanding dengan Samsung dan Huawei dalam menyertakan fungsi pada peranti paling mercu mereka.




Baiklah ini ialah tujuh perkara yang kami rasakan mengecewakan pada iPhone 11, 11 Pro dan 11 Pro Max. Kami akui definisi mengecewakan ini berbeza mengikut pengguna. Apa pula pendapat anda kekurangan pada tiga telefon pintar terkini Apple? Adakah anda bersetuju dengan senarai ini? Seperti biasa tinggalkan komen bernas anda di bawah.


Norlida Ishak Shop