Expired : 18.06.18

73 Anggota Kesihatan Dikesan Positif COVID19. KKM Gesa Rakyat Teruskan Duduk Di Rumah!


Sehingga 25 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, dilaporkan bahawa terdapat 73 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia dikesan positif COVID-19. Berdasarkan siasatan, yang dilakukan, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini BUKAN disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM!



Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes (64.4%) adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh. Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif COVID-19.


Foto: Facebook Kementerian KesihatanMalaysia

Seramai 1,895 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalani ujian pengesahan, di mana 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.



Dr Noor Hisham berkata, semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan.



Beliau menggesa semua anggota kesihatan dan petugas barisan hadapan untuk memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing, sekiranya terbabit secara langsung atau mempunyai hubungan dengan kontak. Jelas beliau lagi, antara program itu adalah ijtimak di Seri Petaling dari 27 Februari 2020 sehingga 3 Mac 2020, majlis perkahwinan di Bangi pada 6 Mac dan di Putrajaya pada 7 Mac yang dihadiri anggota kesihatan.


Selain itu, orang ramai yang perlu hadir ke hospital untuk mendapatkan rawatan juga dinasihatkan supaya mematuhi langkah-langkah penjagaan seperti berikut:


1.Elak menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan terlebih dahulu.


2.Basuh tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun selama 20 saat atau gunakan hand sanitizer.


3.Elakkan daripada mendekati individu yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan selsema.


4.Mengamalkan etika batuk iaitu menutup mulut dan hidung apabila batuk mahupun bersin dan seterusnya membasuh tangan dengan bersih.


5.Jika mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan, sila pakai penutup hidung dan mulut serta kekalkan jarak selamat 1 meter dari individu lain.