Expired : 18.06.18

743 kematian COVID-19 di Itali dalam tempoh sehari

MARYLAND, 30 Rejab 1441H, Rabu – Angka kematian akibat jangkitan COVID-19 terus meningkat dan kini mencecah lebih 17,100 orang di seluruh dunia.


Daripada jumlah itu, Itali masih mencatatkan kes kematian dan kes tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 743 orang dalam tempoh satu hari, menjadikan bilangan keseluruhan kepada 6,820.


Kematian di Sepanyol turut melonjak 514 orang dalam tempoh satu hari, menjadikan jumlah setakat ini kepada 2,696. Negara itu turut melaporkan 6,600 lagi kes baharu kepada 39,673 kes di seluruh negara.


Di Perancis, COVID-19 telah meragut 240 lagi nyawa – angka paling tinggi direkodkan di negara itu – menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 1,100.


Pegawai kesihatan Perancis, Jerome Salomon berkata, 22,300 orang telah disahkan positif COVID-19, dengan 10,176 dimasukkan ke hospital dan 2,516 lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).


Pegawai percaya jumlah yang dikeluarkan adalah bukan daripada angka sebenar, kerana hanya individu yang menunjukkan gejala teruk sahaja akan diarah membuat saringan.


Wabak dari China itu turut menjejaskan negara berpengaruh, Amerika Syarikat (AS) yang sudah merekodkan 600 kematian, dengan 49,768 kes setakat ini.


AS mempunyai kes ketiga tertinggi di seluruh dunia, yang berada di belakang China dan Itali. Kadar kematian berdasarkan kes adalah 1.2 peratus – tetapi jumlah sebenar dijangkiti dipercayai lebih tinggi.


Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara untuk membendung penularan wabak COVID-19.


India setakat ini melaporkan memiliki 519 kes dengan 10 kematian. Seramai 1.3 bilion penduduk negara itu berada di bawah perintah berkurung bermula tengah malam tadi selama 21 hari. – Agensi


The post 743 kematian COVID-19 di Itali dalam tempoh sehari appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.