Expired : 18.06.18

Acu pistol ke kepala, lelaki rompak bank RM28,000

Suspek meluru ke bahagian kaunter lalu mengacukan sepucuk pistol kepada seorang pelanggan wanita yang berada di dalam bank. — Foto AFP
Suspek meluru ke bahagian kaunter lalu mengacukan sepucuk pistol kepada seorang pelanggan wanita yang berada di dalam bank. — Foto AFP

IPOH, 24 Dis — Seorang lelaki bertopi keledar menjadikan seorang pelanggan wanita sebagai tebusan dengan mengacukan pistol di kepalanya, sebelum melarikan wang RM28,000 di sebuah bank berhampiran Bulatan Silibin di sini petang tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak ACP Zaihairul Idrus berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira 4 petang.




“Suspek dipercayai memasuki bank melalui pintu mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum meluru ke bahagian kaunter lalu mengacukan sepucuk pistol kepada seorang daripada pelanggan wanita yang berada di dalam bank itu sambil mengugut kakitangan supaya memasukkan wang ke dalam beg yang dibawa bersamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.


Beliau berkata suspek yang berbaju lengan panjang dan memakai topi keledar bercermin gelap kemudian melarikan diri bersama beg berisi wang berkenaan ke arah sebuah kereta yang menunggunya di luar kawasan bank.



“Bagaimanapun tiada tembakan yang dilepaskan dan kejadian berlaku terlalu pantas iaitu kira-kira empat minit sahaja,” katanya.



Zaihairul berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian terdapat tiga pelanggan yang berada di dalam bank itu manakala pengawal keselamatan berada di bahagian ruang pejabat.


Beliau berkata mangsa berusia 50-an yang dijadikan tebusan tidak mengalami kecederaan namun trauma akan kejadian itu dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan kerana menghidap penyakit jantung.


Katanya polis kini giat mengesan suspek bersama seorang lagi yang dipercayai memandu kereta di luar bank untuk membawa lari suspek.


“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta tampil menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.


Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. — Bernama