Expired : 18.06.18

Ada Ketika Erra Fazira ‘Jatuh Terduduk’, “Bermunajat Kepada Allah Lebih Melegakan Tekanan.”


Gelaran Hajah yang digalas sudah pasti meletakkan tanggungjawab dan persepsi yang berat bagi primadona jelita ini.


Ulasnya, adalah agak sukar untuk seseorang berubah andai individu sekeliling tidak memberikan dorongan terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan.


Bagi saya mungkin yang berkata itu tidak melalui fasa hidup kemanusiaan. Dia terlalu tertumpu dengan pemikiran begitu.


“Dia hanya akan menakutkan seseorang yang ingin berubah ke arah kebaikan kerana harapan yang begitu tinggi diletakkan.


“Kita harus berfikiran terbuka dalam memahami fitnah kehidupan manusia. Ada segelintir teman saya yang takut untuk mengerjakan umrah dan haji bimbang akan menjadi bahan kejian andai tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan masyarakat


“Saya sering membaca komen netizen ‘lebih baik buka hijab’ kepada sesetengah artis dan kebetulan memang itu yang berlaku, adakah anda boleh jamin tidak terkena tempias dosa di situ,” luahnya memohon agar netizen mendoakan yang baik-baik dalam setiap komen yang diberikan.


Luah Erra lagi kepada MH, ada kala dia sendiri ‘rebah’ tatkala membaca komen negatif yang ditulis netizen di ruang
sosial miliknya.


Bagaimanapun, bintang Sembilu ini selesa untuk mengambil pendekatan untuk tidak lagi mengendahkan apa yang dikritik.


“Nasihat saya, sekiranya tidak kuat, elakkan daripada membaca komen caci maki dan penghinaan yang ditulis.


“Saya dahulu fikirkan sudah cukup kuat untuk membaca apa yang diperkata netizen, namun jujurnya, ada ketika saya ‘jatuh terduduk’ beberapa hari.


“Saya juga akan memadam komen yang turut menjejaskan netizen lain sehingga berlaku perbalahan sesama sendiri.


“Selain itu, kita harus dikelilingi insan yang memberi impak positif dalam diri kerana mereka yang akan menegur setiap kesalahan dengan jujur.


“Sekiranya ada masalah, seeloknya ‘bercakap’ terus kepada Allah kerana itulah terapi terbaik untuk diri.


“Bermunajat kepada Allah lebih melegakan tekanan berbanding meluahkan rasa hati kepada manusia,” jelasnya ketika ditemui pada Sidang Media Bersama Erra Fazira, baru-baru ini.


Dalam perkembangan lain, Erra Fazira kini muncul kembali dengan single terbaru berjudul Menangkah Cinta hasil ciptaan composer Hafiz Hamidun bersama penulis lirik terkenal, Iman Imran.


Norlida Ishak Shop