v Adakah Pembedahan Bariatrik Baik atau Sebaliknya?
Expired : 18.06.18

Adakah Pembedahan Bariatrik Baik atau Sebaliknya?

Oleh : Amirah Hanis Binti Ishak
Program Pemakanan Klinikal, Fakulti Sains Kesihatan 
Universiti Kebangsaan Malaysia

Obesiti merupakan satu ancaman yang besar kepada kualiti kesihatan seseorang individu. Pelbagai jenis penyakit telah dikaitkan dengan masalah obesiti seperti diabetes, darah tinggi dan kadar lemak dalam darah meningkat, yang akhirnya boleh menyebabkan komplikasi seperti sakit jantung, strok dan penyakit buah pinggang yang kronik. Corak pemakanan tinggi kalori dan lemak yang semakin popular dan gaya hidup yang sedentari di kalangan rakyat Malaysia kini juga boleh cenderung ke arah obesiti. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Malaysia (NHMS, 2015), peratusan masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia meningkat secara dramatik dalam jangka masa melebihi 15 tahun sejak 1996 sehingga 2015 sebanyak 300%. Ini menunjukkan bahawa status kesihatan rakyat Malaysia sedang berada dalam keadaan yang amat membimbangkan.

Selain pendekatan pengurangan pengambilan kalori serta peningkatan aktiviti fizikal dalam mengawal masalah obesiti, terdapat satu kaedah lain yang kini mendapat sambutan iaitu pembedahan bariatrik. Pembedahan bariatrik merupakan pembedahan pada kantung gaster dan / atau usus untuk membantu pesakit obesiti menurunkan berat badan dalam masa yang singkat. Pembedahan ini dapat mengawal selera makan pesakit dan mengecilkan kuantiti makanan mereka. Saiz perut selepas pembedahan menjadi semakin kecil dan ini mengalakkan mereka untuk rasa lebih kenyang dengan cepat. Pembedahan ini hanya boleh dilakukan kepada individu yang mempunyai indeks jisim tubuh (IJT) melebihi 40 kg/m² dan IJT melebihi 35 kg/m² diikuti dengan masalah komorbiditi seperti diabetis dan komplikasi jantung.

Akan tetapi, adakah pembedahan ini selamat atau boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan? Dapatan hasil kajian tentang pembedahan bariatrik menunjukkan kira-kira 60% daripada berat badan berlebihan berjaya diturunkan. Selain itu, peningkatan status kesihatan yang lebih baik juga dapat dilihat di kalangan pesakit diabetes, darah tingi serta mampu merendahkan kandungan lipid dalam darah pesakit obesiti sebanyak 60% hingga 80%.  Tambahan lagi, pembedahan ini telah ditemui sebagai rawatan yang lebih berkesan berbanding rawatan lain seperti ubat-ubatan atau suplemen dalam pengawalan berat badan dan diabetes. Seterusnya, risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular juga dapat dikurangkan sebanyak 82% melalui pembedahan ini. Penyakit lain seperti asma, pernafasan yang terhenti ketika tidur (Sleep Apnea), migrain dan masalah depresi jugak dapat diperbaiki sebanyak 50%. Beberapa kajian terkini juga telah menunjukkan bahawa kadar kematian pesakit obesiti yang menjalani pembedahan ini adalah lebih rendah dalam jangka masa panjang berbanding mereka yang tidak.

Terdapat banyak prosedur yang berbeza dalam pembedahan bariatrik ini. Contohnya, Lingkaran Roux-en-Y Laparoskopik Boleh Ubah Suai (Laparoscopic Roux-en-Y Gastric Bypass, LRYGB), Sleeve Gastrectromy (SG) dan Pintasan Gastrik (Gastric Banding). Akan tetapi, kajian menunjukkan bahawa setiap prosedur mempunyai risiko yang berbeza apabila menjalani pembedahan ini. Antara risiko yang bakal dialami ialah pendarahan, jangkitan pada luka pembedahan, mengalami penyakit batu hempedu dan kekurangan nutrisi. Seramai 38% ke 52% pesakit yang menjalani pembedahan ini mengalami penyakit batu hempedu dalam jangka masa satu tahun selepas pembedahan dijalankan. Kekurangan nutrisi seperti zat besi, vitamin B12, vitamin D dan kalsium juga adalah antara perkara yang perlu diambil kira untuk menjamin kesihatan yang baik terhadap pesakit setelah menjalani pembedahan.

Pembedahan bariatrik adalah salah satu inisiatif yang baik untuk mengatasi masalah obesiti. Namun, pesakit masih perlu mengambil kira tentang risiko yang bakal dialami selepas pembedahan ini. Langkah berjaga-jaga sewaktu pembedahan dijalankan dan pengamalan diet sihat selepas pembedahan perlu diambil perhatian bagi mengekalkan kesihatan yang optimum sepanjang masa.

Rujukan

  1. Institute for Public Health (IPH). (2015). National health and morbidity survey 2015 (NHMS 2015). Vol. II: non-communicable diseases, risk factors & other health problems.
  2. Kosai, N. R., & Rajan, R. (2018). History and Progress of Bariatric Surgery in Malaysia. Obesity Surgery, 28(8), 2572–2577.
  3. Stacy A. Brethauer, Bipan Chand, Philip R. Schauer. (2006). Risks and benefits of bariatric surgery: Current evidence. Cleveland Clinic Journal of Medicine, 73.
  4. Tan Kar Choon, Chee-Tao Chan, Cheah Wee Kooi, Rajkumar Vinayak, Huan-Keat Chan. (2019). Influence of bariatric surgery on weight reduction and control of chronic disease among obese patients in Malaysia. Med Journal of Malaysia, 74: 215-218.

Kredit Foto : womenhealthmag