Expired : 18.06.18

Aduan gangguan elektrik pulih


KUALA LUMPUR, 9 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memulihkan 650 aduan gangguan bekalan elektrik di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang susulan ribut tropika yang membadai utara Semenanjung malam semalam.


TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja membaik pulih sistem bekalan dilakukan secara berperingkat seawal 8.27 malam, terutamanya di kawasan yang melibatkan keselamatan orang awam.


“Kerja-kerja sedang dan masih giat dilakukan dalam memastikan semua 1,595 aduan itu mendapat bekalan elektrik,” katanya.


TNB menasihati orang ramai untuk mengambil langkah-langkah keselamatan elektrik dengan tidak menyentuh mana-mana wayar yang terjatuh atau tergantung, bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian renjatan elektrik.


Semalam, hujan lebat disusuli angin kencang membadai utara Semenanjung melibatkan Kedah, Langkawi, Perlis dan Pulau Pinang sehingga mengakibatkan kejadian pokok tumbang, bekalan elektrik terputus, selain rumah, sekolah dan bangunan mengalami kerosakan.


Sementara itu di Alor Setar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah sehingga kini telah menerima 315 panggilan mengenai kejadian pokok tumbang di 10 daerah, membabitkan 56 mukim di negeri ini akibat kejadian ribut malam tadi.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Norhafifi Ismail berkata, panggilan itu diterima menerusi sumber MERS 999 dari pengadu di daerah Langkawi, Kubang Pasu, Pendang, Padang Terap, Sik, Kuala Muda, Kota Setar, Yan, Kulim dan Pokok Sena dan ia adalah rekod panggilan tertinggi.


“Antara kes yang direkodkan adalah kes pokok tumbang di kawasan jalan raya, kawasan awam dan kawasan penduduk. Kerja-kerja pengoperasian dan pembersihan sedang giat dijalankan oleh semua agensi terlibat termasuk bomba dan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Norhafifi berkata, keadaan setakat ini terkawal manakala tiada pusat pemindahan sementara dibuka.


Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 11 rumah penduduk terjejas berikutan kejadian ribut itu direkodkan berlaku di daerah Kubang Pasu.


Norhafifi berkata, kejadian ribut yang berlaku di negeri Utara Semenanjung disebabkan taufan Lekima yang melanda Timur Negara China. -Bernama


The post Aduan gangguan elektrik pulih appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop