Expired : 18.06.18

AES: ‘PH seperti budak kencing berlari’


BANGI, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Dewan Pemuda PAS Malaysia menempelak sikap kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang masih mempunyai mentaliti pembangkang, walaupun sudah diberi kuasa memerintah negara.

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dahulunya ketika PH menjadi pembangkang, semua perkara termasuk pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dibangkang.

Sinis beliau, penguatkuasaan AES satu ketika dahulu menjadi kempen kuat PH, termasuk Rafizi Ramli, Lim Guan Eng dan Datuk Mahfuz Omar serta ramai lagi pimpinan lain yang menentang ia dilaksanakan.

“Tidak cukup siang, malam pun jadi. Tidak cukup di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, di jalanan berdemo pun jadi asal boleh bangkang.

“Tidak cukup dengan plakad, tidur di jalanan malah berarak sehingga tidak cukup jalan. Namun, setelah menjadi kerajaan, mentaliti masih tidak berubah dan perubahan yang dijanjikan hanya angan-angan tahi ayam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian menyelar kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Hasanuddin Mohd Yunus kelmarin, bahawa pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu, penumpang, keselamatan pengguna lebuh raya serta harta benda lain adalah menepati Maqasid Syariah.

Hasanuddin berkata, sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan, beliau sempat beramah mesra dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Hasil perbincangan berkenaan, beliau menganggap pelaksanaan AES adalah satu tindakan Islamik.

Malah, Hasanuddin berkata, walaupun ada golongan yang mengapi-apikan kebencian terhadap kerajaan dalam urusan AES, rakyat Malaysia yang ikhlas dan waras secara senyap akhirnya menghargai usaha murni kerajaan ini.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk berkata, PH menganggap pelaksanaan AES sebagai projek kroni dan menguntungkan pihak tertentu dengan pelbagai lagi alasan lain.

“Sekarang tiba-tiba AES mematuhi Maqasid Syariah, perlu dilaksanakan dan berbagai lagi alasan diberi.

“PH hanya pandai menutur berbagai janji namun hakikatnya seperti budak kencing berlari. Amacam bos, pampers pakai tak?,” katanya.


The post AES: ‘PH seperti budak kencing berlari’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop