Expired : 18.06.18

AFF B-18: Dua gol Harith Haiqal calar ego Indonesia, Malaysia ke final

Malaysia menang 4-3 menentang Indonesia dalam aksi separuh akhir AFF B-18 di Vietnam, 17 Ogos 2019. — Foto ihsan Facebook/Football Association of Malaysia (Official)
Malaysia menang 4-3 menentang Indonesia dalam aksi separuh akhir AFF B-18 di Vietnam, 17 Ogos 2019. — Foto ihsan Facebook/Football Association of Malaysia (Official)

KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Malaysia menundukkan ego musuh tradisi, Indonesia selepas melakar kemenangan dramatik 4-3 pada aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Bawah 18 Tahun (B-18) 2019 di Vietnam, hari ini.

Pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira pasukan apabila meledak dua gol terakhir perlawanan untuk memastikan Malaysia selaku penyandang juara mara ke perlawanan akhir sekali gus mencerahkan peluang negara merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.


Kejayaan anak buah pengendali sementara, Brad Maloney itu juga pasti menambah derita skuad Garuda Muda selepas mereka turut kecundang di tangan Malaysia pada peringkat sama dalam saingan edisi lepas di Stadium Gelora Delta, Indonesia.


Pada aksi di Stadium Binh Duong itu, gol pembukaan negara oleh Mohd Aiman Afif Md Afizul pada minit ke-19 seakan memberi tamparan hebat kepada Indonesia setelah menguasai perlawanan sejak minit pertama permainan.


Indonesia yang mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A, terus mengawal dan mengatur serangan dengan baik sebelum menyamakan kedudukan menerusi Beckham Putra Nugraha yang tidak dikawal barisan pertahanan negara pada minit ke-45.


Penyerang licik negara, Luqman Hakim Shamsudin yang meledak dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Australia 3-0 pada aksi kumpulan kembali meletakkan Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke-55 menerusi rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi.


Kegembiraan Malaysia hampir bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dalam sekelip mata Indonesia mendahului 3-2 selepas Muhammad Fajar Fathur dan Muhammad Salman Alfarid masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-80 dan 82’.


Bagaimanapun, dua minit berselang Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi Harith Haiqal yang tenang menyempurnakan sepakan penalti dihadiahkan pengadil selepas Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid dijatuhkan dalam kawasan berbahaya sekali gus perlawanan diheret ke masa tambahan.


Harith Haiqal mengesahkan kemenangan skuad negara setelah mencetak gol kedua peribadi dengan tandukan terbang pada minit ke-97 untuk membawa Malaysia ke pentas akhir yang dijadual berlangsung pada Selasa hadapan.


Menanti Malaysia dalam final adalah antara juara Kumpulan B, Australia dan naib juara Kumpulan A, Myanmar yang membuat perhitungan dalam satu lagi aksi separuh akhir, malam ini. — Bernama


Norlida Ishak Shop