Expired : 18.06.18

Agensi tawar kursus jaga orang tua warga asing diserbu

BANGI, 9 Safar 1441H, Selasa – Empat premis agensi penjagaan orang tua membabitkan pekerja warga asing digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) secara serentak di Petaling Jaya, Damansara dan Kuala Lumpur, kelmarin.


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil maklumat dan risikan awal, agensi penjagaan orang tua ini didapati menawarkan kursus dan latihan kepada peserta dalam kalangan warga asing. 


Katanya, agensi berkenaan menjanjikan peluang pekerjaan kepada peserta selepas habis mengikuti latihan dan kursus di premis tersebut.  


Malah, mereka mengenakan bayaran sebanyak RM200 kepada setiap peserta yang ingin mengikuti kursus berkenaan, kata Khairul Dzaimee.


“Kesemua agensi penjagaan orang tua ini gagal mengemukakan dokumen tujuan mengadakan kursus dan latihan semasa pemeriksaan dilakukan. 


“Kebanyakan peserta adalah wanita warga asing yang mempunyai pas pembantu rumah dan juga pas lawatan sosial. Semakan  mendapati wanita-wanita yang mempunyai pas pembantu rumah tetapi tidak bekerja dan lari dari majikan asal,” katanya.


Bukan itu sahaja, beliau berkata, terdapat juga wanita warga asing yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong dan menghadiri kursus tersebut bagi tujuan untuk mendapatkan pekerjaan. 


Khairul berkata, kursus dan latihan sebegini menjadi tumpuan warganegara dan menyumbang kepada peningkatan kes-kes seperti lari dari majikan, bekerja tanpa permit yang sah atau menyalahgunakan pas dan sebagainya. 


“Hasil serbuan seramai 55 orang warga asing telah diperiksa dan seramai 40 warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada 22 wanita dan 6 lelaki Filipina, 3 wanita Pakistan, 1 wanita dan 1 lelaki India, 6 lelaki Pakistan dan 1 lelaki Sri Lanka. 


“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.


Beliau berkata, kesemua tahanan telah diserahkan kepada JIM Selangor untuk tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan susulan. 


Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memanggil semua agensi penjagaan orang tua yang terlibat untuk siasatan.


The post Agensi tawar kursus jaga orang tua warga asing diserbu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop