Expired : 18.06.18

Agong puji inisiatif kerajaan Harapan bantu rakyat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik inisiatif-inisiatif kerajaan Pakatan Harapan untuk rakyat.


Bertitah merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-14 hari ini, baginda menyifatkan kejayaan yang dikecapi kerajaan kini selaras dengan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan Belanjawan 2019.


“Beta menyambut baik kajian separuh penggal RMK-11 dan Belanjawan 2019 yang telah mengambil kira aspirasi rakyat dan cabaran semasa supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.


“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di seluruh negara untuk membantu rakyat termasuk menubuhkan Majlis Sara Hidup Negara.


“Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan antaranya penyelarasan gaji minum,pemberian bantuan sara hidup, subsidi bersasar dan program “food bank”,” titah Sultan Abdullah.


Dalam pada itu, Seri Paduka turut memuji langkah strategik kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berstatus hab halal.


Malah, baginda mahu Malaysia terus menjadi pelopor negara hab halal global menjelang tahun 2020.


“Beta juga suka cita negara kini dilihat sebagai model dalam pembangunan industri halal yang mana ia merupakan komponen penyumbang kepada ekonomi dengan nilai eksport bernilai RM 43.4 bilion.


“Dalam hal ini, beta percaya Pelan Industri Halal 2.0 akan terus diperkukuhkan industri diperikngkat nasional dan antarabangsa,” titah Sultan Abdullah.


Yang di-Pertuan Agong berangkat ke istiadat pembukaan Parlimen bersama permaisuri, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 10.10 pagi.


Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.


Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Ini merupakan titah sulung Seri Paduka sejak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.


Norlida Ishak Shop