v Ahli APSF harus tabah
Expired : 18.06.18

Ahli APSF harus tabah

PENANGGUHAN edisi ke 10 Sukan Para Asean 2020 di Filipina daripada 18 hingga 24 Januari kepada 20 hingga 28 Mac depan tidak boleh dilihat sebagai rintangan utama bagi ahli Persekutuan Sukan Para Asean (APSF).

Sebaliknya Presiden APSF, Majer Jeneral Osoth Bhavillai menyeru setiap ahli untuk meneruskan sokongan dan bangkit bersama bagi menentukan kejayaan penganjuran kejohanan dwitahunan bagi atlet kurang upaya itu.

Rantau ini menanti dengan penuh harapan bahawa tindakan dan pencapaian para atlet kita yang tidak pernah gagal dan akan terus memberi inspirasi kepada kita.

Dalam semangat sejati Asean ‘Bergerak Bersama’, marilah kita maju ke hadapan dalam Tahun Baharu dengan semangat dan tujuan diperbaharui dalam usaha kita untuk mengatasi cabaran lebih besar yang mendepani kita dalam dekad baharu ini, "katanya dalam mesej Tahun Baharu beliau yang dimuatkan laman Facebook APSF, hari ini.

Bhavillai yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Thailand berkata, sejak penubuhan APSF pada 25 Oktober 2001, badan itu tetap teguh dan waspada dalam memenuhi misi mereka untuk memperkuat gerakan Paralimpik di kalangan ahli-ahlinya.

Beliau menambah bahawa APSF dan ahli-ahlinya telah berusaha keras mengarus perdana sukan dan gerakan Paralimpik dalam agenda pembangunan semua negara ASEAN selama 19 tahun yang lalu.

Sukan Para ASEAN berlangsung tiga kali di Kuala Lumpur iaitu pada tahun 2001, 2009 dan 2017; Hanoi, Vietnam (2003); Manila, Filipina (2005), Nakhon Ratchasima, Thailand (2008), Solo, Indonesia (2011), Naypidaw, Myanmar (2014) dan 2015 yang berlangsung di Singapura.

Pada 20 Disember, APSF mengumumkan bahawa Sukan Para ASEAN 2020 ditangguhkan berikutan kekangan kewangan dan pengagihan dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN (PHILAPGOC) Filipina.

Berikutan pengumuman itu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) dilaporkan menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina pada hari yang sama.