Expired : 18.06.18

Ahli ditahan polis tidak pegang jawatan dalam PAS Sarawak

Ahli yang ditahan polis kerana mengkritik wakil rakyat DAP tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi PAS Sarawak. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Ahli yang ditahan polis kerana mengkritik wakil rakyat DAP tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi PAS Sarawak. — Foto oleh Yusof Mat Isa

MIRI, 9 Jan — PAS Sarawak hari ini menjelaskan bahawa individu berusia 40 tahun yang ditahan polis Sibu kerana mengkritik wakil rakyat DAP Khamis lepas bukan seorang pengurus pusat tahfiz seperti dilaporkan oleh media berbahasa Inggeris sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, lelaki tersebut yang kini dibebaskan dengan jaminan polis, hanyalah membantu pihak pengurusan pusat tahfiz sahaja dan pada masa ini tidak memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan tertinggi PAS Sarawak.


“Individu tersebut merupakan seorang ahli biasa yang menyatakan pandangan peribadi terhadap wakil rakyat DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Jofri meminta media untuk menghentikan laporan yang berdasarkan spekulasi tanpa fakta tepat serta mahu semua pihak menghormati proses perundangan tanpa mengira fahaman politik dan agama.


“PAS Sarawak juga ingin menegaskan bahawa tindakan yang sama juga perlu diambil terhadap mana-mana individu yang membuat kenyataan fitnah atau berniat jahat kepada mana-mana ahli politik dari semua peringkat tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang,” katanya.


“PAS Sarawak telah menghubungi orang yang kena tuduh (yang juga dilaporkan positif dadah) untuk membuat laporan polis dan sidang akhbar untuk membersihkan namanya (kerana dakwaan difitnah),” katanya lagi.


Sebagai rekod lelaki tersebut ditahan polis Sibu kerana mengeluarkan kenyataan negatif di Facebook mendakwa empat wakil rakyat DAP tidak menganjurkan kempen “Kembali ke Sekolah” di kawasan masing-masing dan individu itu ditahan selepas laporan polis dibuat oleh seorang pembantu kepada ahli Parlimen Lanang Alice Lau.


Penahanan individu tersebut mendapat pelbagai reaksi antaranya daripada pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Pro Azmi Shahrom yang dilaporkan dalam portal berita dalam talian Free Malaysia Today (FMT) yang menganggap komen ahli PAS itu tidak bersifat mengancam.


Pengerusi Eksekutif Lawyers of Liberty Latheefa Koya turut dilaporkan menyuarakan pendapat menyatakan ia tidak ada kaitan dengan jenayah.


Pengarah The Centre For Independent Journalism (CIJ) Sonia Randhawa dipetik The Star semalam turut mempersoalkan penahanan individu berkenaan dan meminta kerajaan untuk mendefinisikan dengan jelas maksud kebebasan bersuara. — Bernama


Norlida Ishak Shop